Pergerakan garis badai bersama ribut petir punca banjir kilat di KL

Kawasan sekitar Kuala Lumpur digemparkan dengan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh pada pagi hari ini,15 Oktober 2024. (FOTO: Medsos)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pergerakan garis badai yang membawa bersama ribut petir dan hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat di sekitar ibu kota pagi tadi berlaku.

Garis badai ribut petir terbentuk di Selat Melaka pada awal pagi dan mula bergerak masuk ke negeri Selangor pada 7 pagi tadi, menurut pemantauan cuaca dan analisis imej radar Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

- Advertisement -

“Keamatan garis badai semakin meningkat dan bergerak ke Kuala Lumpur pada 8.30 pagi.

“Berdasarkan taburan hujan di Lembah Klang bagi tempoh 8 hingga 11 pagi hari ini, taburan hujan paling tinggi direkodkan antara 9 hingga 10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam tempoh 9 hingga 10 pagi tadi, stesen meteorologi di Hutan Simpan Persekutuan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong merekodkan jumlah hujan 53.5 milimeter (mm), Empangan Klang Gate (51.7 mm) dan di Parlimen (47.3 mm).

Seawal jam 6:30 pagi MetMalaysia mengeluarkan amaran yang menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di Lembah Klang dan dikemas kini pada 8:50 pagi melibatkan kawasan Kuala Lumpur.

“Amaran cuaca MetMalaysia sentiasa dikemas kini dan disebarkan menerusi pelbagai medium seperti laman web, laman sosial Facebook, Instagram dan X serta khidmat pesanan ringkas (SMS),” ujar kenyataan itu lagi.

Terdahulu, pada pagi tadi beberapa kawasan dan jalan raya utama di sekitar Kuala Lumpur dinaiki air ekoran limpahan sungai-sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak akibat hujan lebat.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan antara kawasan terjejas ialah Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen di Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers dan Jalan Damansara bawah jejambat Semantan.

Air turut naik di Jalan Ledang, Jalan Segambut, Jalan Genting Klang berhadapan Shell dan Universiti Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan.

Kejadian tanah runtuh pula turut berlaku di Taman Melawati, Ampang yang menyebabkan 20 rumah teres terputus hubungan dengan laluan utama. – HARAKAHDAILY 15/10/2024