KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menyambut baik pelancaran Kempen #BaktiDemiSelangor yang diumumkan PAS Selangor sebagai langkah proaktif dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, beliau percaya bahawa kempen itu adalah langkah strategik dan tepat pada masanya untuk memperkukuhkan sokongan bukan sahaja daripada pengundi Melayu, tetapi juga daripada kalangan anak muda dan pengundi bukan Melayu di negeri Selangor.
“Sebagai sayap muda yang aktif dan progresif, Dewan Pemuda PAS Selangor akan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan dan keupayaan kami bagi memastikan visi dan misi kempen ini tercapai,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, tenaga dan komitmen Pemuda PAS akan digerakkan ke seluruh pelosok negeri Selangor untuk menyatukan undi anak muda, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, dalam usaha memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Selangor pada PRU-16 nanti.
Menurutnya, kempen #BaktiDemiSelangor yang menekankan keikhlasan dan kesungguhan PAS untuk berbakti kepada rakyat Selangor, seiring dengan agenda pembangunan, ekonomi, dan kebajikan negeri, merupakan platform terbaik untuk mendekati pengundi muda.
Tambah Sukri, dengan pelbagai program dan inisiatif yang akan dilaksanakan, PAS dan Perikatan Nasional diyakini mampu memberikan tawaran terbaik kepada anak muda yang inginkan perubahan positif untuk masa depan mereka dan negeri Selangor.
Beliau menyatakan, Dewan Pemuda PAS Selangor juga akan memastikan usaha-usaha dalam mendekati segmen pengundi bukan Melayu dan bukan Islam diperhebat, agar PAS dilihat sebagai wadah politik yang inklusif dan mampu membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami beriltizam untuk mengikis sebarang persepsi negatif terhadap perjuangan PAS dan memperbetulkan salah faham yang masih ada.
“Kami yakin dengan kesepaduan dan kerjasama yang kukuh antara jentera Pemuda PAS dan jentera Perikatan Nasional, matlamat kemenangan di Selangor akan dapat dicapai, sekaligus menjadikan PRU-16 sebagai titik perubahan penting dalam landskap politik negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024