Isu GISBH perlu cermat, elak penubuhan baru

Tuan Guru Abdul Hadi menerima surat keahlian PAS daripada Abdul Hakim.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam pada 5 Ogos 1994.

Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, susulan daripada itu ajaran kumpulan Syarikat Rufaqa’ yang dipercayai mempunyai kaitan mewarisi fahaman dan ajaran Al-Aqram diisytihar sebagai menyeleweng pada 12 September 2006.

“Setakat hari ini, sebagaimana yang dimaklumkan tadi beberapa Majlis Fatwa Negeri memfatwakan kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

- Advertisement -

“Saya berpendirian jika jelas kesesatan dan penyelewengan yang dibawa selepas melalui proses perbincangan dan pendakwaan yang adil, maka sudah tentu kita tidak boleh berkompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu kebajikan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISBH di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, mempersoalkan adakah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan memberi fatwa yang sama terhadap ajaran GISB selepas langkah telah diambil di beberapa negeri.

“Apa pula langkah-langkah yang diambil selepas itu? Kalau kita teliti persejarahan panjang kumpulan ini dari Al-Arqam, Rufaqa’ sehinggalah kepada GISB.

“Rangkaian ini bersambung dari generasi ke generasi kerana adanya pewaris, namun dari satu sudut lain adakah kerana sesuatu kekuatan doktrin atau pun apa-apa kekuatan yang menjadi teras juga perlu untuk dikaji?

“Perkara ini jika tidak dicermati dan secara menyeluruh tidak mustahil akan mendorong kepada penubuhan, pertubuhan atau syarikat yang baru pada masa akan datang dengan imej yang baru tetapi berselindung di sebalik ajaran yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!