KUALA LUMPUR: “Hakikatnya, hutang negara adalah semakin bertambah dan bukannya berkurang seperti mana yang dinyatakan oleh pihak kerajaan.”
Mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil berkata demikian, sambil menyatakan sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan telah menambah hutang yang berjumlah RM90 billion.
“Namun begitu, kerajaan pula menyatakan sebaliknya dengan mendakwa ‘pertambahan’ hutang telah berkurang berbanding dengan tahun-tahun lepas dan mereka bangga.
“Mereka kata kerajaan-kerajaan sebelum ini yang menambah hutang sebanyak RM100 billion tetapi zaman Pakatan Harapan (PH) ini hanya menambah hutang kurang (RM10 bilion) daripada jumlah tersebut,” katanya dalam akaun media Facebooknya semalam.
Isham menjelaskan bahawa tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa kerajaan tetap menambah hutang walaupun hanya meminjam RM90 billion.
“Pertama, mereka (kerajaan) membandingkan hutang pada zaman Covid-19 ketika kerajaan pada ketika itu sememangnya terpaksa berhutang RM100 billion untuk memberi bantuan kepada rakyat dalam tempoh wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sedangkan sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19, kerajaan hanya berhutang secara purata dalam lingkungan RM30 hingga RM70 billion setahun.
“Kedua, bila kita tambah hutang RM90 billion, hutang kita tetap bertambah…bukan berkurang.
“Bila penyokong atau pemimpin kerajaan kata ‘pertambahan’ hutang itu telah ‘berkurang’, itu adalah oksimoron (bercanggah). Siapa yang mereka ingin yakinkan? Kerajaan tidak boleh syok sendiri.
“Perumpamaan yang boleh saya beri ialah kita kata pada tahun lepas kita berhutang RM100,000 untuk beli kereta Range Rover, tahun ini pula kita berhutang lagi RM90,000 untuk beli kereta Toyota.
“Tetapi kita sembang dengan jiran kita kata, tahun ini kita kurang tambah hutang, padahal hutang kita sebenarnya semakin bertambah dengan besar,” ujarnya.
Sehubungan itu, Isham Jalil menyatakan bahawa walaupun wabak Covid-19 sudah mula reda tetapi kerajaan pada ketika ini masih menambah hutang negara dengan jumlah yang besar.
Kata beliau lagi, yang lebih mengeruhkan keadaan lagi ialah apabila kerajaan memotong subsidi, menaikkan harga diesel dan menaikkan pelbagai cukai yang mengakibatkan berlakunya kenaikan kos barangan.
“Apabila dasar mereka adalah sebegini, ia mendorong kos-kos perkhidmatan dan barangan untuk meningkat dan harga pengguna juga melambung tinggi.
“Yang menanggung beban akhirnya adalah rakyat juga,” jelasnya.
Laporan media semalam melaporkan hutang Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 meningkat sebanyak 8.6 peratus atau RM92.92 billion kepada RM1.173 trilion berbanding RM1.08 trilion pada tahun 2022.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2024, Hutang Persekutuan terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trillion atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan manakala Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 billion atau 2.5 peratus. – HARAKAHDAILY 15/10/2024