Hujan lebat pagi: Kuala Lumpur ditenggelami banjir kilat

Keadaan banjir kilat di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur. (FOTO: Facebook KLCCC)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hujan lebat yang melanda pada pagi ini menyaksikan beberapa kawasan di sekitar ibu negara dan Selangor ditenggelami air akibat daripada banjir kilat, selain kejadian tanah runtuh di Taman Melawati.

Menurut kenyataan platform sosial Bencana2024, bencana tersebut menyebabkan beberapa kenderaan terkandas berdekatan kawasan perumahan akibat daripada tanah runtuh dan pokok tumbang tersebut.

Antara kawasan lain yang terjejas daripada banjir kilat ialah di ibu negara kawasan sekitar Parlimen termasuk Jalan Parlimen menuju ke Bukit Aman (Kuala Lumpur); susur Jalan Duta dan Jalan Sultan Abdul Halim, kampus Universiti Malaya serta Wisma Central.

- Advertisement -

Sementara itu, beberapa jalan sekitar Kuala Lumpur dinaiki air menyebabkan aliran trafik terganggu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Integrated Transport Information System (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan hantaran di media sosial oleh orang awam.

Antaranya ialah di Jalan Parlimen menghala ke Bukit Aman, Jalan Perak dan Lebuhraya Sultan Iskandar serta laluan masuk ke Wisma Bernama dari arah Jalan Tun Razak. 

Smart Expressway melalui media sosial X pula memaklumkan bahawa terowong smart ditutup sepenuhnya untuk laluan pengguna memandangkan operasi banjir sedang dijalankan.

“Pengguna Terowong SMART dinasihatkan memandu dengan berhati-hati. Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan lalu lintas,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024