GISBH jumpa PM: Perlu reformasi jabatan agama

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) masih wujud di laman web mereka dan berjaya bertemu dengan Perdana Menteri pada 4 April 2023, walaupun isu penyelewengan telah diketahui sebelumnya.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, kelemahan dalam kawalan jabatan agama menyebabkan mereka dapat mengadakan perjumpaan dengan pemimpin negara, menunjukkan perlunya reformasi dalam jabatan tersebut.

Beliau berkata, Pejabat Perdana Menteri dipercayai mempunyai kawalan yang ketat, termasuk tapisan keselamatan tertentu bagi individu yang ingin mengadakan pertemuan.

“Apa yang jabatan agama telah terlepas pandang sehingga menyebabkan akhirnya mereka ini boleh mengadakan perjumpaan-perjumpaan dengan pimpinan-pimpinan negara dan mewajahkan mereka sebagai pertubuhan yang direstui dan mempunyai hubungan baik dengan pemimpin negara?” ujar beliau.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan isu GISB Holding di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, reformasi terhadap jabatan agama perlu dibuat oleh Menteri berikutan jabatan itu terlepas pandang perkara tersebut.

“Dan sudah saya nampak sudah pun ada (reformasi) terhadap jabatannya sendiri yang menyebabkan akhirnya terlepas isu-isu seperti ini,” sinis beliau.

Beliau memetik ungkapan Mufti Perlis bahawa isu dakwaan yang melibatkan Global Ikhwan telah lama dibentangkan kepada pelbagai penguat kuasa agama, termasuk JAKIM, namun tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Beliau menimbulkan persoalan mengenai punca kegagalan itu dan berharap agar isu tersebut dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

Jangan kait dengan politik ekstremisme

Selain itu, beliau berkata isu GISBH itu dikatakan berakar umbi daripada gerakan Al Arqam dan Rufaqa, di mana kerajaan-kerajaan terdahulu telah mengambil tindakan sewajarnya dengan mengisytiharkan kedua-duanya sebagai pertubuhan haram yang mengamalkan ajaran sesat, mengamalkan aurad Muhammadiyah.

Beliau berbeza pandangan dengan Kota Melaka yang menyatakan ianya adalah kegagalan kerajaan terdahulu untuk menangani isu itu memandangkan ia telah ditangani dengan sebaik mungkin oleh pegawai-pegawai di agensi-agensi yang berkaitan.

“Kalau kita nak bercakap soal politik, saya bimbang kalau isu ini kita tangani daripada dimensi politik maka ia tidak akan sampai kepada peringkat ataupun tidak akan menatijahkan satu keputusan yang baik.

“Jadi jangan kaitkan dengan mana-mana modal politik. Tadi sahabat saya daripada Pulai menyatakan bahawa ini menjurus kepada ekstremis agama, kepada mana-mana parti politik.

“Ini satu lagi perbahasan yang saya kira nak bawa kepada dimensi politik. Kalau nak kira dari sudut ekstremisme kefahaman salah yang mengakibatkan menular dalam politik kita juga dapat melihat dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Bharu (KKB) yang lepas,” katanya.

Menurutnya, seorang jurukempen di KKB dari pihak kerajaan menyatakan bahawa parti pembangkang adalah bughah dan tidak layak untuk diundi kerana mereka dianggap pelampau.

Namun jelasnya, kenyataan tersebut tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi pihak kerajaan, kerana ia hanyalah ucapan individu.

Beliau berkata, jika pandangan itu diterima, ia mungkin akan mengubah naratif perbahasan kepada arah yang salah. – HARAKAHDAILY 15/10/2024