KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan sekitar di Jalan Setiawangsa, Wangsa Maju, Taman Keramat, Ulu Kelang dan Lebuhraya MRR2 tidak terkecuali terjejas akibat dinaiki air banjir kilat susulan hujan lebat pagi tadi.
Kejadian banjir kilat telah dikesan berlaku di Jalan AU3 dan Jalan AU2, Taman Keramat serta Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang berhampiran dengan kawasan Ulu Kelang.
Banjir tersebut berpunca daripada limpahan air berlebihan dari Sungai Klang yang sememangnya bersebelahan dengan Lebuhraya MRR2.
Ini mengakibatkan berlakunya kesesakan yang begitu teruk lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka daripada melalui arus banjir.
Sehubungan itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dilihat mengawasi laluan yang dinaiki air selain memberikan amaran banjir kepada penduduk di kawasan perumahan berhampiran.
Bagaimanapun, air dilihat mulai surut sekitar jam 11 pagi tadi, dan beberapa kawasan pada masa ini hujan lebat dan dikhuatiri akan berlaku semula banjir.
Sementara itu, kejadian pokok tumbang telah dikesan berlaku di dua kawasan iaitu Jalan Seksyen 5 Wangsa Maju (dari arah Jalan AU3 menuju ke arah Wangsa Maju) dan Kompleks Sukan Setiawangsa.
Namun begitu, laluan berhampiran kompleks tersebut telah ditutup oleh Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Setiawangsa bagi mengelakkan kejadian lebih buruk untuk terus berlaku.– HARAKAHDAILY 11/10/2024