
KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat pada hari ini terpaksa ditangguhkan selama 30 minit susulan beberapa ahli Parlimen yang terperangkap dalam banjir akibat hujan lebat yang melanda pagi tadi.
Ia berikutan beberapa laluan menuju ke bangunan Parlimen, di sini telah mula dinaiki air akibat daripada hujan lebat tersebut.
Sehubungan itu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata persidangan sesi pagi yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi hanya akan dimulakan pada 10.30 pagi.
“Yang Berhormat, di luar sana hujan terlalu lebat dan beberapa jalan telah pun naik banjir serta ramai di antara Ahli Yang Berhormat telah pun terperangkap dalam banjir tersebut.
“Oleh yang demikian, saya ingin menggunakan peraturan mesyuarat 12(2) untuk menangguhkan mesyuarat ini sehingga jam 10.30 pagi,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di semua negeri di Pantai Barat Semenanjung iaitu dari Perlis hingga Johor.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu beberapa kawasan di Kedah yang melibatkan kawasan Kubang Pasu, Kota Setar dan Bandar Baharu. Seluruh kawasan di Pulau Pinang turut diramalkan.
“Selain itu, turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Perak iaitu Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung dan Bagan Datuk.
“Sementara kawasan di Pahang pula melibatkan kawasan di Bentong dan Rompin. Seluruh kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut terlibat.
“Seterusnya di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Negeri Sembilan melibatkan kawasan di Seremban, Port Dickson dan Rembau dan Tampin.
“Seluruh kawasan di Melaka turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini. – HARAKAHDAILY 15/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!