‘Akhirnya pola pemakanan tidak sihat jadi kebiasaan’

Dato' Dr Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti isu berkaitan beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini dan memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus), berkata apabila komuniti tidak mempraktikkan pemakanan dan gaya hidup sihat ia secara tidak langsung akan diikuti oleh generasi seterusnya.

“Akhirnya pola pemakanan yang tidak sihat itu menjadi suatu kebiasaan di dalam generasi ke satu generasi.

- Advertisement -

“Jadi apa perancangan proaktif kementerian agar kesedaran pemakanan sihat ini sampai kepada seluruh komuniti setempat di seluruh negara sama ada di kerjasama komuniti atau lain-lain kaedah yang menyeluruh?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan perancangan untuk mewujudkan dokumen induk seperti Pelan Tindakan Pemakanan Kanak-Kanak bagi menyelesaikan isu-isu pemakanan dalam kanak-kanak khususnya isu tersusut dan terbantut serta obesiti secara komprehensif dan bersepadu.

Selain itu, Alias berkata, antara faktor lain yang melibatkan beban berganda malpemakanan adalah disebabkan kos pemakanan sihat itu sendiri agak mahal berbanding dengan makanan yang tidak sihat.

“Saya faham kos ini bukan di bawah kendalian KKM namun apakah inisiatif ke arah bagi memastikan akses pemakanan yang sihat dan berkualiti mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira taraf sosioekonomi rakyat?

“Ini yang menjadi isu rakyat iaitu isu makanan mahal khususnya kalau nak cari makanan yang berkhasiat,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya berharap agar dapat menyasarkan untuk mengurangkan faktor beban berganda malpemakanan ini.

“Perkara ini yang menjadi punca mereka terdedah kepada ancaman penyakit kronik atau tidak berjangkit ketika tumbesaran termasuklah kencing manis dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!