‘Kita lihat seolah-olah tidak sensitif isu tuntutan bertindih’

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wisma Putra diminta untuk menyatakan pendirian terhadap peristiwa sambutan kepada sekumpulan warga China yang didakwa sebagai pelatih tentera laut negara itu yang mengadakan program di Pulau Pinang baru-baru ini.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, kehadiran mereka dengan menaiki dua buah kapal perang Tentera Laut China yang menggemparkan negara itu dilihat tidak sensitif dengan situasi terkini hubungan Malaysia-China.

“Kerana ini memberikan mesej yang salah kepada masyarakat dan juga kita melihat ini seolah-olah tidak sensitif kepada isu tuntutan bertindih yang sedang berlaku dan adanya aset tentera yang berada di Beting-Patinggi Ali,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asal dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam sesi yang sama, beliau turut meminta agar Menteri menjelaskan status terkini siasatan Wisma Putra terhadap dakwaan kebocoran dokumen diplomatik Malaysia-China pada 21 Ogos lepas berkaitan nota bantahan Negara China terhadap kegiatan carigali minyak Malaysia di perairan Sarawak.

Sementara itu Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dalam jawapannya berkata, kehadiran dua kapal perang Negara China itu adalah di dalam pengetahuan kementeriannya dan ia selaras dengan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

“Sementelahan pula ia merupakan ‘port of call’ mereka di Pulau Pinang. Jadi ini telah pun mendapat persetujuan daripada pihak Kementerian Pertahanan.

“Kementerian Luar cuma memberikan kelulusan diplomatik untuk kapal itu datang masuk perairan kita dan pelabuh di sana,” katanya.

Berkaitan dengan kebocoran dokumen diplomatik berkaitan dengan amaran China terhadap kegiatan carigali minyak di perairan Sarawak, beliau berkata, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kebocoran tersebut. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -