NIBONG TEBAL: Lebih 100 peserta menyertai ‘Jom Briskwalk Bersama YB Abang Abidin’ yang diadakan Hijauan Hills, Tasek Cempedak, Sungai Bakap, di sini pagi semalam.
ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Abang Abidin berkata, penglibatan pelbagai lapisan umur menjadikan program berkenaan bertambah meriah.
“Ada warga emas, ada golongan muda, ada kanak-kanak dan ada juga bayi comel yang bersama pada program ini. Semuanya bersemangat sekali,” kata beliau.
Dalam pada itu kata Abang Abidin, program bertemakan ‘Free Palestine’ itu sebagai memperingati hampir setahun pembantaian rejim Israel laknatullah terhadap rakyat Palestin.
Justeru melalui program itu, secara tidak langsung katanya, mengajak semua untuk terus menyokong gerakan kebebasan bagi rakyat Palestin dengan sepenuh jiwa dan raga.
“Di samping itu, sempat juga saya memberi pesanan kepada semua peserta agar terus menjaga kesihatan dan kawal kuantiti pemakanan serta amalkan senaman yang bersesuaian.

“Sekarang banyak sangat penyakit, jadi setiap kita perlu berjaga-jaga dan mengamalkan cara hidup sihat,” katanya lagi.
Program ‘Jom Briskwalk Bersama YB Abang Abidin’ dijayakan dengan kerjasama Kelab Belia Proaktif dan Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Nibong Tebal, juga Pusat Khidmat DUN Sungai Bakap, sempena Hari Sukan Negara.
Dalam pada itu, peserta yang menyertai program tersebut juga berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah.
“Alhamdulillah, rata-rata mereka menyatakan rasa seronok dan gembira dengan program yang diadakan. InsyaAllah, jika ada rezeki, kita akan dijadikan program seperti ini sebagai acara tahunan Pusat Khidmat ADUN Sungai Bakap.
“Santai janji sampai….tahniah kepada semua,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!