Era Madani Exco Kelantan tidak dilantik Ahli Lembaga KADA

Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pada penggal lepas anggota Exco Kerajaan Negeri dilantik sebagai Ahli Lembaga KADA sebagai melengkapkan kuota wakil negeri.

Bagaimanapun selepas Kerajaan Madani yang diketuai Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, anggota Exco tidak lagi dilantik sebagai Ahli Lembaga KADA.

Perkara itu berlarutan sehingga sekarang, biar pun PH pernah berjanji melantik wakil Kelantan sebagai Ahli Lembaga Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

- Advertisement -

Hanya ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kuota wakil negeri dilantik iaitu Exco Pertanian dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, beliau pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga KADA ketika PN menguasai Putrajaya.

Katanya, kehadiran Exco Pertanian sebagai Ahli Lembaga KADA lebih memudahkan perancangan berkaitan industri padi dan beras di Kelantan.

“Banyak perancangan dibuat secara bersama bagi memastikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara menjadi kenyataan.

“Namun selepas PH-BN menguasai Putrajaya selepas PRU-15, Kerajaan Madani tidak lagi melantik Exco Pertanian dalam Lembaga KADA,” katanya di sini.

Berdasar portal rasmi KADA terdapat 10 Ahli Lembaga KADA yang diketuai pemimpin Amanah Kelantan Mohamad Husin. Manakala Timbalan Pengerusi Mohd Faizur Mustafa.

Lapan lagi Ahli Lembaga termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai banyak lagi maklumat berkaitan KADA kerana tiada wakil Exco dalam Lembaga KADA.

Sedangkan katanya, KADA memainkan peranan penting bagi memastikan Kelantan kekal sebagai pengeluar beras utama di negara ini.

“Sekarang pesawah berdepan dengan masalah pengairan ekoran cuaca panas yang melanda seluruh negara pada awal tahun ini.

“Pengeluaran padi merosot sehingga 40 peratus berbanding sebelum ini. Jadi kerajaan negeri berusaha mencari alternatif lagi termasuk memperluaskan tanaman padi di luar kawasan jelapang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024