Dapur Rakyat PAS Melaka untuk jentera bantuan banjir

- Advertisement -

JASIN: Lajnah Kebajikan dan Kesejahteraan Sosial (LKKS) PAS Melaka membuka ‘Dapur Rakyat’ sebagai sokongan kepada jentera bantuan yang akan membantu mangsa-mangsa banjir di sini.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohsin Ibrahim berkata, aktiviti memasak akan dilakukan di Pejabat Perhubungan PAS di Semabok sebelum dibawa ke lokasi operasi dilakukan.

“Kita jangka bahawa kita akan mula menjalankan operasi esok, tetapi bergantung kepada situasi banjir. Sekiranya banjir belum surut kita tak boleh mula lagi.

“Sekiranya surut, kita akan mulakan mencuci esok dan kita pun tak pasti akan mengambil masa berapa lama. Kalau banyak rumah akan ambil masa lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily usai lawatan ke kawasan terjejas banjir, di sini hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan komitmen yang diberikan oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) Selangor untuk membantu mangsa-mangsa banjir di situ.

“Setakat ini dari maklumat yang saya dapat mereka akan tiba malam ini sekitar 40 orang bagi membantu Melaka. Mereka akan ditempatkan di lokasi yang akan dimaklumkan.

“Kerana itu kita akan wujudkan dapur rakyat itu sebagai inisiatif untuk membantu mereka dan juga untuk membantu mangsa banjir,” katanya.

Tambah beliau, LKKS PAS Melaka sedang mengumpul dana bagi tujuan menampung kos operasi bantuan dan untuk diserahkan sebagai sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

Katanya, orang ramai yang sudi untuk membantu boleh menyalurkan kepada akaun Pertubuhan Islam Prihatin Melaka – Bank Muamalat  04020001679717.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Zulhilmi Suboh dan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek serta Setiausaha Kerja PAS Melaka, Rashidi Ismail.

Juga Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Melaka, Ustazah Norizah Jaafar dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Jasin, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin. – HARAKAHDAILY 14/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!