KUALA LUMPUR: “Kata nak jadi pembangkang ini check and balance. Ini check pun tak ada, balance pun tak ada!”
Demikian dinyatakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sewaktu sesi persidangan Dewan Rakyat pagi ini.
Ia susulan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengumumkan peraturan terbaru persidangan Dewan Rakyat yang mengurangkan nisbah soalan 10 terawal daripada lima nisbah lima antara Ahli Parlimen Kerajaan berbanding pembangkang kepada enam nisbah empat.
Beliau yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional bangkit atas usul Peraturan Mesyuarat 21, 22, 23 dan 24 sebaik selesai ucapan Speaker sebelum bermulanya sesi ‘Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
“Saya memang berhasrat bagi pihak Perikatan Nasional untuk membangkitkan dan bertanya, minta kejelasan (clarity), bukan penjelasan (explanation).
“Iaitu dasar baru, kita anggap dasar baru, memberikan giliran pertanyaan soalan lisan ini dalam kadar (nisbah) 6:4,” ujar beliau.
Beliau berpendapat adalah tidak wajar dan bercanggah dengan amalan-amalan yang dilaksanakan sebelum daripada ini walaupun ianya tidak tercatat di dalam Perintah Tetap.
Namun, kata beliau, ia adalah amalan yang diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia sejak era pemerintah Barisan Nasional yang ketila itu mempunyai Ahli Parlimen lebih daripada majoriti dua pertiga tetapi tetap memberi peluang kepada pembangkang bertanya soalan pada kadar sama rata.
“Saya ingin merujuk kepada data Yang Berhormat sebut tadi, anggota pentadbiran, ahli kabinet seramai 30 orang, bukan sikit, tetapi tolak empat orang Senator ni 26 orang MP. Untuk Timbalan Menteri, 29 orang, tolak tiga orang Senator, (baki) 26 orang.
“52 orang tu dah jadi anggota pentadbiran. Kita tak tahu sebenarnya yang menyokong kerajaan ni berapa, kita tak tahu. Dulu masa undi percaya kepada Perdana Menteri tak ada dibilang,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, perkara tersebut adalah urusan Dewan Rakyat yang sepatutnya dibincang dalam Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, sebagai Ketua Whip kerajaan, Ketua Pembangkang, Ketua Whip Perikatan Nasional dan Ketua-krtua Whip parti-parti lain yang dipengerusikan oleh Speaker sendiri.
“Sepatutnya soalan-soalan Parlimen ni bagilah lebih kepada pembangkang, baru kepada penyokong kerajaan. Back Banchers tak payahlah tanya, ini kerajaan anda sendiri.
“Pokok saya, perkara ini, sepatutnya dengan hormatnya Tan Sri Yang Dipertua, sepatutnya perkara ini dibincangkan dengan kami, bukan diputuskan begitu saja. Ini kepentingan bersama. Saya minta kejelasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024