PARIT: “Dalam usaha untuk memacu kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat, terdapat beberapa perkara penting perlu diberi perhatian khusus dalam Belanjawan 2025.”
Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober ini seharusnya menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kestabilan fiskal.
Menurut beliau, salah satu agenda yang perlu diperkasakan adalah tumpuan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar termasuk di Parlimen Parit.
“Ia termasuk mempertingkatkan rangkaian jalan raya, kemudahan air bersih, serta akses internet berkelajuan tinggi.
“Pembangunan kemudahan asas ini adalah kunci untuk memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook.
Tambah beliau, golongan belia merupakan aset penting dalam pembangunan negara.
Oleh itu, beliau menggesa pihak kerajaan memperuntukkan dana untuk program latihan kemahiran, insentif kepada sektor-sektor yang boleh mencipta peluang pekerjaan berkualiti, serta sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ingin berkembang.
“Langkah-langkah ini penting untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia dan meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja,” ujarnya.
Katanya lagi, sebagai wakil rakyat yang turut mewakili kawasan pertanian, beliau berharap agar Belanjawan 2025 dapat memperluaskan lagi bantuan kepada petani dan nelayan.
“Ia termasuk subsidi input pertanian, peralatan moden, dan insentif untuk teknologi hijau.
“Pada masa yang sama, saya menyeru agar kerajaan perbanyakkan insentif kepada usahawan kecil, khususnya dalam sektor makanan dan kraftangan untuk meningkatkan pendapatan mereka serta menyokong ekonomi setempat,” ujarnya.
Justeru beliau turut berkata, akses pendidikan dan kesihatan berkualiti juga adalah hak untuk semua rakyat.
Belanjawan 2025, ujar beliau lagi, perlu memperuntukkan lebih banyak dana untuk memperkasakan sektor pendidikan, khususnya dalam memperbaiki kemudahan sekolah di kawasan luar bandar serta memperkukuh inisiatif pembelajaran digital.
“Dalam sektor kesihatan pula, beliau berharap agar lebih banyak klinik kesihatan dibina dan ditambah baik fasiliti serta memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan terus dinikmati oleh rakyat Malaysia,” hujah Ismi.
Tambah beliau, dari segi bantuan tunai, beliau menggesa agar kerajaan Persekutuan dapat menaikkan had pendapatan seisi rumah kepada lebih dari RM5000 untuk melayakkan golongan M40 yang telah dibebani pelbagai komitmen kewangan juga menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada masa akan datang.
“Golongan M40 merupakan golongan yang selalu diabaikan kebajikan mereka, walaupun hakikatnya kebanyakan mereka didapati tidak berdaya mempunyai simpanan dan tabungan yang mencukupi.
“Justeru, diharapkan langkah-langkah reformasi fiskal yang inklusif dan adil diteruskan, bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global tanpa membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!