JOHOR BAHRU: Tindakan sesetengah media massa dan pengguna media sosial pro-Madani memanipulasi kenyataan dibuat Yang Dipertua PAS Kawasan Johor Bahru, Prof Madya Dr Mohd Mazri Yahya berkaitan cuti hujung minggu di Johor adalah sebagai sesuatu tidak beretika.
Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz berkata, tindakan sesetengah mereka yang menggambarkan seolah-olah Dr Mazri menentang titah Istana adalah sesuatu yang tersasar jauh.
“Saya sudah membaca penuh artikel ditulis oleh Dr Mazri Yahya dan berita-berita berkait dengan artikel yang ditulis beliau. Di sini saya dapat simpulkan, tiada sebarang perkataan menunjukkan Dr Mazri tidak patuh titah Istana,” katanya.
Malah menurut beliau, pandangan yang diberi Dr Mazri itu menunjukkan bahawa beliau akur dengan titah berkenaan, ujar Nawfal dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman _Facebook_ rasminya sebentar tadi.
Tambahnya, jika diperhatikan dengan sebetulnya, artikel yang ditulis itu lebih kepada satu pandangan dan nasihat kepada Menteri Besar Johor.
Jelasnya, kenyataan itu hakikatnya ada satu saranan supaya Kerajaan Negeri Johor dapat menyediakan perkhidmatan bersesuaian pada hari Jumaat tahun hadapan apabila hari Jumaat akan menjadi hari bekerja dan bersekolah.
“Dr Mazri yang merupakan YDP PAS Johor Bahru juga menyeru agar sentiasa menghidupkan amalan Hari Jumaat yang telah diamalkan sekian lama walaupun dalam keadaan sudah bekerja pada tahun 2025 nanti.
“Saya berharap agar isu pertukaran cuti ini tidak menjadi polemik yang besar bagi rakyat Johor. Saya juga berharap YAB Menteri Besar dapat mendengar dan mengambil sedikit sebanyak cadangan dan pandangan rakyat berkenaan isu ini,” katanya.
Beliau, turut meminta agar semua pihak membaca artikel penuh penulisan Dr Mazri yang tidak disunting dengan klik pautan : https://www.facebook.com/share/p/midNy3gRKkWJwZ2y/
Ustaz Nawfal turut menzahirkan rasa pelik apabila kenyataan Ahli Parlimen PH Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang jelas dilihat sebagai ‘sembah mohon tidak bersetuju’ dengan Istana berkaitan isu itu tidak pula menjadi bahan polemik.
“Jauhilah kerja tidak beretika dalam penyampaian berita dan ulasan atas penulisan pihak lain. Kerja ‘spin’ ni dengan sengaja atau tidak, boleh mewujudkan persepsi yang tidak sihat,” nasihat beliau.
Beliau dalam kenyataan yang sama turut mengingatkan semua pihak tentang program Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa yang bakal berlangsung petang ini.
“Semarakkan semangat kita agar tidak pernah padam. Saudara-saudara kita di Palestin sangat menanti doa dan bantuan kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!