
KUALA LUMPUR: “Seorang tokoh pahlawan Palestin yang dibunuh maka lebih ramai lagi pahlawan Palestin yang akan wujud.”
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sudah terlalu banyak tokoh Palestin yang telah dibunuh oleh rejim Zionis Israel.
“Seorang daripadanya ialah Sheikh Ahmad Yasin yang menjadi mangsa pembunuhan rejim (Zionis Israel) tersebut.
“Namun begitu, mereka bunuh sahaja seorang Sheikh Ahmad Yasin maka akan wujud 10 lagi Sheikh Ahmad Yasin untuk melawan Israel,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa iaitu di hadapan bangunan Alps Ethical Life Science berhampiran dengan Kedutaan Amerika Syarikat, hari ini.
Turut hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya; dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Juga hadir Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali; Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ketua Penerangan Pemuda PAS merangkap Ketua Operasi Sekretariat Himpunan Satu Tahun Taufan Al-Aqsa, Nadzir Helmi; Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua dan aktivis Palestin, Hishamuddin Rais.
Menurut beliau, baru-baru ini Setiausaha Agung Hizbullah Hassan Nasrullah telah pun syahid daripada serangan negara haram Israel.
Tambah beliau, serangan rejim Zionis Israel semakin menjadi-jadi bukan sahaja di Palestin tetapi juga di negara Lubnan.
“Namun begitu, semakin banyak mereka membunuh tokoh-tokoh sebegini maka semakin banyak lagi pahlawan Palestin akan lahir bagi melawan kezaliman mereka.
“Kita akan terus bersama-sama dengan rakyat Palestin dalam apa jua keadaan dan tidak akan menyokong rejim Zionis Israel.
“Ini kerana kita tidak akan sesekali pun mengiktiraf mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fadhli menyatakan negara haram Israel akan dihancurkan oleh Allah SWT pada satu hari nanti.
“Kita semua sudah tentu ingat bagaimana Allah SWT menghancurkan raja-raja yang zalim seperti Firaun dan Namrud.
“Perkara sebegitu juga akan berlaku terhadap rejim Zionis Israel itu sendiri pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!