Ulama global diseru teruskan berjuang bebaskan Palestin 

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa teguh bersatu dan bersolidariti di bawah lembayung perjuangan Taufan Al-Aqsa demi membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis Israel.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya, berkata perjuangan mempertahankan kedaulatan Palestin tidak pernah sesekali berakhir.  

- Advertisement -

Menurutnya, Tanah Palestin yang dijarah sejak Perjanjian Sykes-Picot serta Deklarasi Balfour menjelang keruntuhan Khilafah terakhir umat Islam seharusnya dituntut bela. 

“Taufan Al-Aqsa yang digerakkan oleh pejuang Hamas adalah langkah pembebasan yang disambut generasi demi generasi,” katanya menerusi satu kenyataan media di laman Facebook DUPP

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ulama Islam di seluruh dunia agar menjadikan qadiyyah Al-Aqsa dan Palestin ini sebagai asbab terbaik bagi mengetepikan perbezaan dan bersegera menyahut seruan penyatuan ummah, membimbing ummah kepada solidariti dan kesatuan yang ikhlas, jitu lagi padu demi Islam.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah turut merakamkan keterujaan dan bersyukur apabila seruan khusus bagi menggamit peranan dan fungsi yang berterusan daripada para ulama ummah. 

“Peranan para ulam’ dalam pembebasan Al-Aqsa seumpama peranan besar yang dimainkan oleh Qadi Al-Fadil yang sentiasa menemani, membimbing serta menginspirasi Salahuddin Al-Ayyubi sehingga berjaya menggalas amanah menerajui pembebasan Baitulmaqdis daripada cengkaman tentera-tentera salib.

“Semoga roh kebangkitan ini akan terus memangkin perjuangan dan solidariti umat Islam di seluruh belahan dunia sehingga bumi Palestin kembali terbela. 

“Yakinlah bahawa pembebasan ini hanya tercapai apabila umat Islam bersatu atas ikatan akidah yang kukuh. Insya Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2024