
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan agar konsisten dalam pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan dari Singapura yang memasuki ke negara ini.
Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata tindakan kerajaan yang membuat pusingan-U dengan melonggarkan syarat pelaksanaan VEP adalah amat dikesali dan menunjukkan kelemahan penguatkuasaan undang-undang.
“Singapura dalam masa yang sama, tetap konsisten dan tegas dalam mengenakan syarat ketat ke atas kemasukan kenderaan Malaysia ke republik tersebut.
“Adakah kerajaan tidak yakin dengan keberkesanan undang-undang kita?
“Jumlah kenderaan Singapura yang berkurangan semenjak sistem VEP ini dilaksanakan menunjukkan keberkesanan dasar yang telah kita laksanakan.
“Adakah keputusan pusingan-U ini dibuat kerana ia memberi ketidakselesaan kepada pemandu dari Singapura?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut, turut menegaskan bahawa bukan tanggungjawab kerajaan untuk memikirkan keselesaan pemandu dari Singapura dengan pelaksanaan sistem VEP ini.
Justeru, PN mencadangkan kerajaan agar pendaftaran sistem VEP untuk kenderaan dari Singapura ini dipermudah dan diringkaskan melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri di kedua-dua negara.
“Malaysia perlulah mewujudkan satu sistem yang bersepadu, adil dan saksama dari sudut pelaksanaan oleh kedua-dua negara demi keselamatan sempadan negara masing-masing.
“Kerjasama ini penting memandangkan Singapura merupakan jiran utama kita dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi Malaysia khususnya Johor Darul Takzim,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa kekecewaan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akibat kelewatan proses di pusat pengumpulan pendaftaran dan pemasangan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) VEP kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Anthony berkata, pihak berwajib akan memudahkan pendaftaran bagi VEP selain membantu memperhebatkan proses permohonan tersebut. – HARAKAHDAILY 11/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!