Ketibaan Deepavali: ‘Kenyataan angkuh Menteri boleh timbulkan ketegangan…’

Balendran Balasubramaniam
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenyatan Menteri yang angkuh ini boleh membawa ketegangan di antara masyarakat terutamanya masyarakat yang akan menyambut Deepavali dalam masa terdekat ini.”

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), Balendran Balasubramaniam berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkenaan isu pemansuhan subsidi telur sekitar musim perayaan Deepavali oleh kerajaan.

Menurut beliau, ketika musim perayaan, permintaan terhadap barangan keperluan asas seperti telur meningkat dengan ketara kerana ramai yang menggunakannya dalam jumlah besar untuk keluarga, tetamu, atau majlis keramaian.

- Advertisement -

“Musim perayaan biasanya membawa peningkatan permintaan terhadap telur, terutama kerana banyak hidangan tradisional memerlukan penggunaan telur. Tanpa subsidi, harga telur mungkin meningkat dengan mendadak disebabkan oleh permintaan yang tinggi.

“Kenaikan harga ini boleh memberi tekanan kepada pengguna, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah yang bergantung pada makanan asas yang murah. 

“Ketika perayaan, kos sara hidup sering meningkat akibat perbelanjaan tambahan untuk makanan, pakaian, dan barangan lain,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, jika harga telur turut meningkat tanpa subsidi, ia akan menambahkan lagi beban kewangan kepada keluarga yang sudah pun berbelanja lebih untuk musim perayaan.

“Ketika perayaan, kos sara hidup sering meningkat akibat perbelanjaan tambahan untuk makanan, pakaian, dan barangan lain. Ini boleh mengurangkan kuasa pembeli mereka dan menyebabkan mereka mengurangkan pembelian barangan lain,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, banyak usahawan kecil dan penjaja makanan bergantung kepada telur sebagai bahan asas untuk produk mereka seperti kuih, kek, roti, dan hidangan lain

“Peningkatan harga telur akan meningkatkan kos operasi mereka dan mungkin memaksa mereka menaikkan harga produk. Ini boleh mengurangkan permintaan terhadap produk mereka, seterusnya memberi kesan kepada pendapatan mereka,” tambahnya.

Justeru, beliau menegaskan pengekalan subsidi telur semasa musim perayaan dapat membantu mengawal harga, memastikan bekalan mencukupi, dan mengurangkan tekanan ekonomi terhadap pengguna dan perniagaan kecil.

“Akhirnya, sebagai seorang menteri beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu. Ini bukannya masa untuk melakukan ‘ground test’ dengan mendapat respons rakyat. 

“Sudah terang lagi bersuluh, Kerajaan Madani tidak peduli tentang nasib rakyat India dan hanya mempergunakan mereka seperti satu alat untuk undi kepada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2024