Dapur Hijau bantu suri rumah jadi usahawan tani

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Dapur Hijau yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun lepas membantu golongan wanita memanfaatkan masa terluang bercucuk tanam di kawasan rumah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program itu disertai ibu tunggal, suri rumah serta beliawanis di seluruh Kelantan.

Katanya, setiap tahun penganjuran program itu sentiasa ditambah baik dan disesuaikan dengan keperluan semasa.

“Para peserta juga dibimbing dan dibantu menjadi usahawan tani melalui bantuan yang disediakan kerajaan negeri dan agensinya,” katanya pada Program Dapur Hijau sempena Pesta Flora di Taman Perbandaran Tengku Anis semalam.

Sempena program itu seramai 120 surirumah dan beliawanis menerima bantuan Kit Pertanian Program Dapur Hijau bagi peringkat Parlimen Kota Bharu.

Turut hadir ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman dan ADUN Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah.

Pada program tersebut orang ramai yang hadir mengikut sesi pendedahan berkaitan kaedah penanaman secara organik di sekitar kawasan kediaman berbentuk ‘mini garden’. – HARAKAHDAILY 11/10/2024