Kemasukan warga China belum selesai, kini kapal perang?

Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah mempersoalkan sambutan hangat terhadap kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau juga mempertikaikan kebenaran yang diberikan kepada mereka untuk melawat sekolah serta pilihan sekolah tersebut

- Advertisement -

Sehubungan itu, Saifuddin meminta penjelasan daripada Kementerian Pertahanan, kerajaan negeri Pulau Pinang, dan Kementerian Pendidikan mengenai isu itu.

“Adakah Kementerian Luar Negeri dirujuk terlebih dahulu? Adakah ini keputusan Kementerian Pertahanan? 

“Mengapakah mereka diberikan sambutan yang begitu hangat dan meriah? Mengapakah mereka diizinkan melawat ke sekolah? Mengapa sekolah itu yang dipilih?” kata menimbulkan beberapa persoalan dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa dua kapal tentera laut China, Qi Jiguang dan JingGangShan, telah berlabuh di Pulau Pinang pada 5 Oktober 2024 sebagai sebahagian daripada lawatan muhibah selama tiga hari. 

Kapal-kapal dari Tentera Pembebasan Rakyat China itu dilaporkan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan China, bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. 

Lawatan tersebut turut dilaporkan adalah termasuk aktiviti pertukaran amalan dan budaya seperti hari terbuka kapal dan resepsi dek, yang bertujuan meningkatkan kepercayaan dan kerjasama maritim antara kedua-dua negara​.

Dalam pada itu, Saifuddin mengimbas bahawa, Malaysia sebelum ini telah membenarkan kapal tentera laut asing berlabuh di pelabuhan negara bagi mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, pegawai serta anggota kapal itu dibenarkan mendarat dengan mengikuti protokol antarabangsa.

Prosedur itu terang beliau selaras dengan amalan biasa apabila kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlabuh di luar negara.

Beliau menjelaskan lagi, kapal tentera laut yang pernah berlabuh di Malaysia termasuk dari negara-negara yang Malaysia terlibat dalam perjanjian seperti Five Power Defence Arrangements. 

“Perjanjian itu melibatkan Singapura, Australia, New Zealand, dan United Kingdom, serta berlaku semasa latihan ketenteraan tertentu,” ujarnya.

Beliau berkata, kapal tentera laut China juga pernah berlabuh di sini namun berbeza dengan peristiwa terbaharu yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Justeru, beliau menggesa kerajaan agar lebih sensitif dan peka terhadap perasaan rakyat, terutama berhubung pencerobohan aset-aset China di perairan negara yang berdekatan Sabah dan Sarawak. 

Menurutnya, media sering melaporkan isu itu, termasuk protes yang diterima oleh Petronas berkenaan aktiviti di Kasawari. 

Kerajaan juga katanya masih belum memberikan penyelesaian tuntas mengenai kemasukan warga China ke dalam negara yang sebahagiannya tidak dapat dikesan. 

“Ini berkait rapat dengan keselamatan, kedaulatan dan jati diri kita.

“Saya harap Kementerian Pertahanan, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pendidikan Malaysia memberikan penjelasan akan perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024