DAMSYIK: Kedutaan Iran di Syria mengutuk serangan agresif Zionis Israel pada Khamis dan menganggapnya sebagai serangan peluru berpandu ‘pengecut’ serta satu lagi jenayah yang dilakukan oleh Israel.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, mereka mendakwa Israel melakukan satu lagi jenayah semasa serangan peluru berpandu ke atas bangunan-bangunan awam di tengah-tengah Damsyik, dan membunuh wanita serta kanak-kanak yang tidak berdosa, lapor Al Mayadeen.
“Kedutaan Iran mengutuk pengeboman pengganas ini dan mengumumkan bahawa tidak ada warga Iran di kalangan para syuhada dan cedera.
“Kami memohon kepada Tuhan untuk memberikan keluarga para syuhada kesabaran dan ketenangan serta kesembuhan yang cepat bagi yang cedera,” katanya menerusi kenyataan tersebut.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan Syria menyatakan bahawa pesawat perang Israel telah melancarkan serangan dan pencerobohan ke atas Syria pada Khamis, dan menyerang kawasan di sekitar Homs dan Hama.
Serangan tersebut dikatakan telah menyasarkan kilang pemasangan kereta di kawasan perindustrian Hassia, di kawasan luar bandar Homs dan tapak tentera Syria di Hama, namun hanya mengakibatkan kerugian barangan.
Israel baru-baru ini pada Selasa telah melancarkan serangan udara yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman di kejiranan Mazzeh di Damsyik, yang meragut sembilan nyawa orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak. -Agensi/– HARAKAHDAILY 10/10/2024