HARI INI telah mencecah setahun tiga hari perang tanah suci Palestin yang dijenamakan oleh al Qassam sebagai Taufan al Aqsa; serangan nekad pejuang Islam untuk mengembalikan semula kemuliaan tanah kiblat pertama umat Islam. Tiada ketakutan, operasi kumpulan elit al Qassam, ‘non state actor’ seperti memberi isyarat kepada dunia, Israel bukanlah terlalu kuat untuk dikalahkan dan 2027 sebagai unjuran untuk pembebasan total bumi barokah ini. Buana ini menjadi saksi, geger ‘Carpet bombing’ ke atas Gaza meluluh lantak sebahagian besar bangunan di Rafah, Khan Younis, Jabelieh, Zaitun dan Deir Balah.
Perang hari ke 366 telah mensyahidkan 41,909 orang warga Gaza manakala 97,303 orang yang cedera. Majoriti penduduk Gaza telah hilang tempat kediaman, namun kota ini berselimut angin semilir yang mewangi darah syuhada. Tiada istilah untuk berpaling tumit, walhal Gaza kehilangan putera besar mereka, Sheikh Ismail Haniyeh dalam satu operasi pembunuhan di Teheran. Menurut Komander Briged al Qassam, perang ini dimulakan kerana pencerobohan dan kebiadaban rejim terhadap Masjid al Aqsa serta tindakan berterusan rejim yang mengepung bumi Gaza.
Israel mendapat tentangan terhebat semenjak entiti haram ini ditubuhkan pada 1948 di atas tanah Palestin. Sebanyak 1,300 buah merkava, kereta kebal canggih rejim menjadi bangkai perang, manakala ribuan soldadu mereka dihumban ke neraka (tiada angka rasmi dikeluarkan rejim), menggeletak sebelum nyawa terpisah. Tidak sempat kaki mereka memijak tanah Gaza, Merkava mereka dihentam hancur dengan senjata ‘cap ayam’ pejuang al-Qassam. Segala-galanya diluar upaya fikir gembong-gembong tentera Zionis sehingga mereka mengatakan adakah Tuhan Nabi Harun dan Tuhan Nabi Musa telah tidak bersama mereka!
Darah berkubang dan pelbagai cuplikan video menunjukkan guratan wajah ketakutan tentera Zionis-Israel digempur peluru sehingga ke Tel Aviv, Ashdod, Ben Gurion Airport dan lain-lain lokasi. Siren kecemasan terus berbunyi dan tempat perlindungan terus dipadati manusia sombong yang disokong oleh rangkaian kuasa besar itu. Seminggu yang lepas, hampir peluru supersonik Iran mengena tepat pada loji senjata nuklear di Tel Aviv. Jika sasaran itu tepat, dijangka Tel Aviv akan mempunyai kawah besar paling ngeri dalam sejarahnya. Negara Yaman yang miskin juga tidak mampu menahan kesabarannya, melepaskan peluru balistik namun dipintas oleh tentera Arab Saudi yang setia menjadi barua Israel dan Amerika.
Setahun tiga hari peperangan berlangsung, bermula di Gaza, melebar kesakitan ke Yaman, Lubnan, seterusnya Iran, juga serangan ke atas depo senjata Russia di Damsyik. Serangan rambang atas nama ‘colateral damage’ bungkam rasa manusiawi, kerosakan pada bangunan kerajaan serta rumah kediaman termasuk gereja ketiga tertua di dunia yang berada di Gaza turut menjadi puin-puin berserakan. Gaza hancur hampir 86 peratus bangunan awam, tiada lagi tempat yang selamat. Binatang Israel melanggar Konvensyen Geneva, juga melanggar protokol keselamatan PBB, tiada yang mampu menghalang mereka melainkan penjajahan ke atas tanah berkah ini wajib ditamatkan. Amerika menjadi adijagat yang melindungi negara haram Yahudi, dengan dibantu oleh ahzab moden termasuk negara munafik Arab!
Serangan rejim dijangka berterusan dan kematian akan terus meningkat. Jumlah tan metrik bom yang digugurkan menimpa bumi Gaza, berlipat kali ganda daripada bom atom yang digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945. Tidak pelik jika seluruh dunia bangkit menentang pembantaian Gaza termasuk oleh kelompok Yahudi Ortodok. Demonstrasi digalang di seluruh belahan dunia, tidak banyak kerajaan yang menyokong Israel, namun kelihatan arogan menunjukkan kesetiawanan seperti United Kingdom, Perancis, Belanda, Itali dan lain-lain.
Naratif kezaliman Israel cuba dilunakkan bahasanya oleh agensi berita antarabangsa yang dikawal oleh Zionis. Mereka mengekang media sosial agar kezaliman tidak terungkap, bahkan pelbagai tindakan dibuat untuk mengekang kesedaran Muslim seperti halangan bertakbir dan membaca Qunut Nazilah. Segala simbol kebangkitan Palestin tidak dibenarkan untuk dipaparkan seperti yang berlaku di Arab Saudi, Bahrain dan Mesir pada hari ini. Kezaliman cuba dirabunkan, walhal di kalangan yang syahid pula, terdapat ramai kanak-kanak, orang tua dan muslimah serta termasuk pelbagai bangunan perlindungan awam di Gaza juga telah dimusnahkan. Perdana Menteri Israel telah mengarahkan semua bangsa Yahudi agar keluar daripada Gaza sejak hari kedua operasi Taufan al Aqsa kerana perancangan Israel untuk menggempur besar-besaran Gaza dan sekitarnya. Ironisnya, Israel juga mengalami serang balas yang seru apabila kota-kota utama mereka menjulang api ke langit!
Pelbagai tempat dibedil rejim Zionis, manakala Kota Gaza paling teruk dihentam dengan serangan udara sang pengecut, seterusnya ke Selatan Lubnan. Israel telah melanggar protokol Majlis Keselamatan PBB dan Konvensyen Geneva. Ironinya, tanah watan kita pula saat pelbagai kumpulan aplikasi _WhatsApp_ menggebu dengan isu-isu picisan, kisah cerai kahwin artis, juga sendawa dan lena yang panjang, pembantaian skala besar dihadapkan kepada umat Islam Palestin dalam setahun tiga hari ini. Gaza adalah penjara terbesar di atas dunia ini, dengan kepadatan penduduk seramai 2.3 juta jiwa, tiada ruang selamat untuk berlindung jika serangan udara dihalakan kepada batas jalur yang sempit ini. Tembok tinggi simen, juga jalur pantai mengepung wilayah yang menjadi kubu HAMAS ini, apatah lagi halangan kepada bantuan kemanusiaan untuk tiba di Gaza oleh negara-negara jiran.
Al Qassam sayap tentera HAMAS, Hizbullah, Iran, Houthi Yaman dan Jihad Islam sedang membalas serangan negara pengganas yang didokong oleh Ahzab moden, langit Gaza seperti pesta pora mercun gergasi dengan bunyi ledakan kuat yang meluluh lantak bangunan serta merabik daging manusia. Pasukan pejuang pro Palestin sedang berusaha agar dapat melumpuhkan terus dan menjadikan Tel Aviv serta bandar-bandar lain marak disambar api percikan roket. Inilah perlawanan dengan dimulakan amukan Al Qassam seterusnya Iran tidak mampu meredam rasa marah umat Islam sedunia atas kebiadaban Israel terhadap Masjidil Aqsa serta serangan kepada orang awam yang tidak berdosa dalam tempoh setahun ini . Tiada yang mampu mengharmonikan jiwa apabila tempoh setahun ini juga telah menggugurkan Sheikh Ismail Haniyeh, Hasan Nasrallah serta juga sebarisan pimpinan yang menggerhanakan impian Israel Raya!
Seluruh kekuatan ummat Islam sewajibnya dikerah untuk menggalang dana, melantunkan munajat serta doa, menggerakkan kempen kesedaran peduli Gaza serta membantu umat Islam Palestin yang sedang berkubang darah mempertahankan kiblat pertama ummat Islam. Penduduk Gaza membayar harga yang mahal, kerana merekalah benteng kepada keselamatan Masjid al Aqsa.
Jom rakyat Malaysia, kita turun berhimpun di Kuala Lumpur pada Sabtu, 12 Oktober ini, jam 2:30 petang sebagai tanda solidariti kita kepada perjuangan membebaskan Palestin!
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 10/10/2024