
KUALA TERENGGANU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan antara langkah kerajaan Terengganu dalam mempergiatkan usaha dalam memaksimumkan potensi Pelabuhan Kemaman sebagai hab maritim dan logistik serantau, susulan peningkatan semula dalam industri perdagangan dan perkapalan global.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bukan hanya tertumpu kepada sektor minyak dan gas, tetapi juga melibatkan pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara EPIC Berhad dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) hari ini merupakan langkah penting dalam usaha untuk menyelaraskan operasi logistik dengan projek mega, ECRL.
“Ini dapat memastikan kelancaran integrasi operasi logistik EPIC Berhad dengan rangkaian ECRL, khususnya di laluan pemisah (spurline) di Pelabuhan Kemaman sekali gus meningkatkan kecekapan pengendalian kargo, selain merealisasikan sasaran menjadikan Pantai Timur sebagai hab logistik pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoU antara EPIC Berhad dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (Kuala Terengganu), di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Ts. Muhtar Suhaili; dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, yang menandatangani MoU mewakili organisasi masing-masing.
Sehubungan itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan penghargaan kepada Loke Siew Fook atas komitmen kerajaan persekutuan dalam menyokong projek infrastruktur skala besar seperti ECRL.
“Tahniah dan terima kasih setingginya kepada rakan saya, Tuan Loke (Siew Fook) yang jelas menunjukkan komitmen kerajaan terutama Kementerian Pengakutan terhadap usaha-usaha untuk memaksimakan impak yang positif dalam projek insfrastruktur skala besar seperti ECRL ini yang merentasi beberapa negeri khususnya Negeri Terengganu yang kita bicarakan pada hari ini.
“Tentunya kerjasama seperti ini adalah amat penting khususnya untuk projek ECRL ini dapat dimanafaatkan semaksimanya,” katanya.
Memetik ucapan Loke Siew Fook, beliau berkata, kemajuan projek ECRL di Terengganu kini mencapai 87 peratus yang merupakan kadar tertinggi berbanding negeri-negeri lain yang terlibat dalam projek tersebut.
“Ini adalah hasil kerjasama rapat pihak MRL, China Communications Construction Sdn. Bhd. (CCC) dan semua agensi Kerajaan Negeri yang telah berusaha memastikan kemajuan sedemikian rupa dapat dicapai.
“Saya sendiri telah mengadakan lawatan ke dua stesen ECRL iaitu Chukai dan Kemasik pada September lalu bagi melihat perkembangan projek tersebut.
“Selain daripada itu (saya juga) membuat pemerhatian terhadap pembangunan Transit Oriented Developement (TOD) yang perlu dirangkakan dan insya-Allah saya akan turun ke empat lagi kawasan cadangan Transit Oriented Developement di waktu yang terdekat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!