ISKANDAR PUTERI, Johor Bahru: Polis menyerbu sebuah premis kediaman di kawasan Horizon Hills, di sini, selepas disyaki dijadikan pusat panggilan bagi tawaran perkerjaan yang tidak wujud, pada 23 September lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Polis (ACP) M Kumarasan, berkata pihaknya telah menahan seramai 20 lelaki warga asing berusia 21 hingga 36 tahun.
“Suspek disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tawaran pekerjaan secara atas talian yang menyasarkan warganegara asing di luar negara sebagai mangsa.
“Pihak polis juga turut merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan seperti komputer dan telefon bimbit.
“Modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan berhubung dengan mangsa secara atas talian melalui platform untuk mencari kenalan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Kumarasan berkata, suspek juga turut menggunakan taktik ‘love scam’ bagi memperdayakan mangsa untuk menyertai pekerjaan secara atas talian dengan menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat.
“Mangsa yang berminat kemudiannya akan diberikan akses kepada laman web yang kononnya memaparkan keuntungan yang diperoleh atas setiap tugasan yang dilakukan.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi sebagaimana dipaparkan pada laman sesawang berkenaan walaupun telah membuat sejumlah pembayaran sebagaimana diarahkan,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kesemua suspek yang telah ditangkap diarahkan dituduh di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan iaitu Pakat Jahat Jenayah.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. Kesemua mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada hari ini (10 Oktober),” katanya.
Justeru, pihaknya menyeru dan menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang di media sosial dan secara atas talian yang menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dan tempoh masa singkat.
“Buat semakan dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan kepastian dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara yang ditawarkan.
“Pada masa yang sama, orang ramai juga hendaklah lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersil bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.
“Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui akaun rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) @cybercrimealert dan @jsjk PDRM di laman Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024