KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyeru seluruh rakyat Malaysia hadir ke Himpunan Aman Solidariti Palestin sempena memperingati setahun Taufan Al-Aqsa, yang akan diadakan pada 12 Oktober 2024, jam 2 petang, di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, tarikh 7 Oktober 2024 menandakan genap setahun operasi Taufan Al-Aqsa, yang menjadi perhatian dunia terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Tarikh ini membuka mata semua pihak daripada pelbagai agama dan warna kulit tentang kekejaman zionis laknatullah.
“Selama satu tahun ini, dunia luar dapat melihat satu krisis kemanusiaan yang paling buruk pada abad ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, serangan genosid oleh negara haram Israel telah mengorbankan lebih 41,870 nyawa.
“Kementerian Pendidikan Palestin pula melaporkan lebih daripada 10,888 murid dan 529 guru serta kakitangan pentadbiran telah terbunuh.
“Sementara itu, 17,224 orang kanak-kanak dan 3,686 guru mengalami kecederaan. Manakala 45,000 para pelajar telah terkandas dengan sesi persekolahan telah ditangguhkan bagi tahun kedua.
“Di samping itu, setakat September 2024, sekurang-kurangya 297,000 unit rumah di Gaza mengalami kerosakan teruk, manakala 87,000 kediaman musnah,” katanya.
Beliau berkata, itulah fakta yang memperlihatkan betapa kejinya Israel dan sekutunya melakukan pembantaian terhadap rakyat Palestin.
“Kekejaman ini pasti kekal dalam ingatan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024