KUALA LUMPUR: “Prinsip Rukun Negara yang kelima seharusnya dijunjung oleh setiap rakyat Malaysia.”
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) dalam kenyataannya berkata, Rukun Negara yang kelima ialah kesopanan dan kesusilaan,yang mana ia seharusnya dijunjung oleh setiap rakyat Malaysia termasuklah mana-mana entiti atau individu yang masuk ke negara Malaysia.
Menurut kenyataan itu, persoalan etika sangat penting dalam negara ini lebih-lebih lagi Malaysia merupakan sebuah negara yang majoritinya beragama Islam.
Tambah DPPNM dalam akaun media sosial Facebooknya tersebut, sebarang perbuatan atau acara yang melanggar etika insani dan kehormatan negara ini haruslah dicegah dan ditangani oleh semua pihak khususnya pihak yang berwajib.
“Misalnya baru-baru ini, tular sebuah video berdurasi tujuh saat dan beberapa gambar dilaman sosial memaparkan sebuah acara larian yang mana peserta program terbabit berpakaian tidak sopan, malah ada yang separuh bogel dan mempromosi LGBT.
“Perbuatan tersebut bukan sahaja telah melanggar etika dan kehormatan negara, malah telah mencabuli prinsip Perlembagaan dan sistem sosial rakyat negara Malaysia.
“Semua Kerajaan Negeri disaran untuk mengambil langkah yang menyeluruh dan lebih berkesan dalam menangani isu ini, termasuk mencegah aktiviti-aktiviti yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Contohnya seperti Negeri Kedah yang membenarkan konsert diadakan di negeri itu, namun penganjur perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Sehubungan itu, DPPNM menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam melakukan acara tersebut yang mempromosikan LGBT.
Sebagai sebuah negara yang mendaulatkan undang-undang, tindakan tegas haruslah diambil ke atas pihak penganjur dan pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam acara seperti ini.
“Perkara sebegini perlu dilakukan agar menjadi iktibar dan pengajaran kepada semua pihak untuk masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024