KUANTAN: Pemuda PAS Pahang menggesa penjelasan segera daripada agensi-agensi berkaitan dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berhubung penjarahan hutan yang semakin kronik di Sungai Lembing.
Tuntutan itu dibuat susulan pendedahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri, yang menyatakan bahawa kerosakan yang berlaku kini pada tahap yang membimbangkan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar, dalam kenyataannya melahirkan kebimbangan terhadap potensi bencana alam yang mungkin melanda kawasan tersebut, khususnya pada musim tengkujuh yang kerap menyebabkan banjir besar.
“Kita sedia maklum Sungai Lembing merupakan salah satu produk pelancongan Negeri Pahang yang penuh dengan nilai sejarah.
“Saban tahun apabila musim tengkujuh tiba, kita lihat bagaimana lumpuhnya Pekan Sungai Lembing dilanda banjir yang menelan kos ribuan mungkin jutaan yang ditanggung penduduk disitu.
“Kami Pemuda PAS Pahang terkejut dan kesal dengan apa yang berlaku di Hutan Sungai Lembing seperti yang didedahkan oleh YB Sungai Lembing baru-baru ini.
“Jika penjarahan ini terus berleluasa kami bimbang pelbagai musibah lain yang akan menimpa penduduk di Pekan Sungai Lembing ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga berharap Sungai Lembing akan terus kekal menjadi produk pelancongan Negeri Pahang yang ulung untuk menggalakkan rakyat melawat Sungai Lembing yang penuh dengan nilai sejarah sekali gus menjana ekonomi masyarakat setempat.
“Justeru kami Pemuda PAS Pahang menuntut penjelasan tuntas daripada agensi berkaitan dan juga MB Pahang mengenai penjarahan Hutan Sungai Lembing ini berserta tindakan segera agar bencana yang tidak diingini dapat dielakkan, termasuk di kawasan-kawasan tadahan air lain di Negeri Pahang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024