PERMATANG PAUH: PAS Pulau Pinang menggesa agar penjelasan tuntas segera dibuat oleh Kerajaan Malaysia atau Majlis Keselamatan Negara, berhubung isu Kapal Tentera Laut China yang berlabuh di Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, pihaknya memandang serius dan mengambil berat isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan negara.
“Walaupun dimaklumkan melalui laman sosial Suruhanjaya Perlabuhan Pulau Pinang, terdapat wakil daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang turut menyambut ketibaan kapal tersebut.
“(Namun).. tiada bukti bergambar yang menunjukkan wakil daripada pihak pihak berkenaan berada semasa sambutan ketibaan kapal tersebut dan juga menjadi pertikaian warga maya serta netizen,” tegas beliau pada kenyataannya, hari ini.
Dalam masa yang sama bidas Fawwaz, melalui laman sosial rasmi DUN Pulau Pinang juga tidak kelihatan keterlibatan anggota keselamatan negara seperti Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) TLDM dan PDRM dalam kunjungan tersebut.
“Tetapi maklumat yang jelas diperolehi adalah hanya Yang DiPertua DUN negeri tersebut, Dato’ Seri Law Choo Kiang menerima kunjungan hormat daripada Pasukan Petugas Tentera Laut (PLAN) 83 PLA tanpa keterlibatan anggota keselamatan negara.
“Adakah ini juga satu sandiwara untuk mengaburi mata penduduk dan warga Pulau Pinang?” soal beliau.
Maka katanya, tidak mustahil situasi atau keadaan seperti itu telah menimbulkan suasana yang tidak senang di kalangan warga Pulau Pinang dan warga Malaysia keseluruhannya.
Malah ia juga katanya, telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang
tidak baik berkenaan kedaulatan negara kita.
“Jangan biarkan kedaulatan negara kita mudah diceroboh dan diabaikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya lagi.
Pada 5 Oktober yang lalu, dilaporkan dua buah Kapal Tentera Laut negara China mendarat di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) iaitu di Selat Melaka Perairan Pulau Pinang.
Kunjungan itu didakwa sebagai lawatan muhibah selama tiga hari di Pulau Pinang di mana armada berkenaan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk pertemuan dua hala, hari terbuka kepada awam, majlis resepsi di dek dan pertukaran profesional.
Ia dikatakan bertujuan meningkatkan pertukaran serta kerjasama dan memupuk rasa saling percaya antara tentera laut China dengan Malaysia. – HARAKAHDAILY 9/10/2024
Kapal perang China: Ini berkaitan kedaulatan negara
- Advertisement -