KUALA TERENGGANU: “Dalam Islam, tiada hari yang dikhususkan untuk beribadat sahaja sehingga melarang umat Islam bekerja.”
Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, semua hari dalam seminggu boleh digunakan untuk bekerja.
Bagaimanapun, kata beliau, di Malaysia, sistem kerja memperuntukkan dua hari sebagai hari cuti mingguan, dan sekaligus memberi peluang untuk memilih hari cuti yang terbaik berdasarkan keutamaan agama.
“Maka sebaiknya tengoklah dalam tujuh hari seminggu hari mana yang paling utama.
“Jumaat ialah ‘sayyidul ayyam’ atau penghulu bagi segala hari. Nak pilih hari cuti, Negeri Terengganu pilih ‘Tok Ngulu’ bagi segala hari.
“Satu hari lagi bolehlah pilih mana-mana hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Jumaat hari umat Islam diwajibkan pergi sembahyang Jumaat dan Ahad ialah hari penganut Kristian pergi gereja.
“Sebagai sebuah negara dengan Islam sebagai agama rasmi, kita nak pilih hari apa?
“Di Iraq mereka cuti Khamis dan Jumaat. Ada lagi beberapa negara Arab yang cuti Khamis dan Jumaat.
“Cuti hari Sabtu dan Ahad pun bukan berdosa. Saya hanya cerita beberapa faktor untuk kira-kira secara mudah, ia terbuka untuk dinilai,” jelasnya.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam kenyataan di Facebook menitahkan cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Baginda sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan. – HARAKAHDAILY 9/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!