KUALA LUMPUR: Briged Muslimat Malaysia, sebuah pasukan beruniform yang diletakkan di bawah Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) kini sudah mencecah usia 14 tahun penubuhannya.
Ketua Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Dr Safinatunnajah Ibrahim berkata, sudah 14 tahun pasukan terlatih ini ditubuhkan untuk bersiap siaga menjaga keamanan, keselamatan dan kesukarelawan.
“Berteraskan kepada tujuh tunjang utama iaitu mardhatillah, tarbiyyah, wala’ dan thiqah, istiqamah, ukhwah, kemahiran dan teknikal dan kepimpinan, Briged Muslimat terus komited dalam memanfaatkan tenaga muda Muslimat secara berorganisasi, berdisiplin dan terlatih,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Briged Muslimat telah melebarkan sayapnya ke semua 14 buah negeri dan aktif menganjurkan pelbagai jenis program kemahiran khas untuk wanita dan terlibat dengan aktiviti sukarelawan.
“Pasukan ini mampu mempertahankan keamanan, cakna isu keselamatan wanita dan kanak-kanak, berkemahiran tinggi dan komited dalam kerja kesukarelawan,” ujarnya.
Tambah Safinatunnajah, Briged Muslimat juga membuka peluang kepada semua wanita yang berminat untuk menyertai Sukarelawan Briged Muslimat di seluruh Malaysia.
“Diharapkan agar Briged Muslimat Malaysia akan terus berkembang dan menyumbang kepada masyarakat khususnya dari aspek keamanan, keselamatan wanita dan kanak-kanak dan kesukarelawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2024