KOTA BHARU: Seramai lapan pelajar lepasan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) dari Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) melanjutkan pengajian di Universiti Ez-Zitouna, Tunisia.
Mereka merupakan pengambilan kedua selepas kerajaan negeri melalui YIK menjalinkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi pengajian yang ditubuhkan abad ke lapan itu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri turut menghantar wakil sebagai tanda penghargaan.
Menurutnya, delegasi tersebut disertai mantan Timbalan Pengarah YIK, Mohd Zaki Deraman dan Syeikh Pusat Pengajian Pondok, turut mengadakan pertemuan dengan pentadbiran universiti itu.
“Rektor dan Timbalan Rektor Universiti Ez-Zitouna serta pegawai universiti mengadakan pertemuan dengan pelajar dari Kelantan hari ini.
“Alhamdulillah semuanya berjalan baik dan insya-Allah esok mereka memulakan kelas,” katanya pada hantaran di Facebook.
Kerajaan Negeri melalui Pusat Pengajian Pondok YIK menandatangi MoU dengan Universiti Ez-Zitouna pada 2019 di mana universiti itu menawarkan 15 bidang pengajian di Fakulti Hadarah Islamiyah.
Menurut Wan Roslan, kerajaan negeri sebelum ini menghantar dua pelajar ke Tunisia dan sekarang berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah YIK. – HARAKAHDAILY 8/10/2024