
KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air tidak berjadual di sebahagian kawasan wilayah Kuala Lumpur bermula jam 6 pagi tadi dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 1 tengah hari esok.
Air Selangor dalam kenyataannya berkata, keadaan itu disebabkan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Hub Pasar Seni, di sini.
“Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan telah siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
“Tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor.
“Selain itu, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari laman sesawang di https://www.airselangor.com/,” katanya.
Kawasan yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ialah Apartmen Putra Ria, Brickfields, Bukit Bandaraya, Bukit Bangsar, Bukit Damansara, Bukit Persekutuan, Bukit Tunku, Damansara Heights dan Damansara Town Centre.
Di samping itu, ia juga termasuk kawasan di Idamansara, Jalan Sultan Hishamuddin, Kampung Attap, Kampung Padang Merbuk (Jalan Sultan Ismail), Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur Central, Medan Damansara, Parlimen dan Persiaran Sultan Salahuddin.
Seterusnya, kawasan di Semantan, Taman Bandaraya, Taman Bangsar Baru, Taman Damansara Endah, Taman Duta, Taman Lucky, Taman SA (Bangsar), Taman SA (Damansara), Taman Tasik Perdana, Taman Tunku dan Tijani. – HARAKAHDAILY 8/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!