Satu tahun Taufan Al-Aqsa: Solat hajat, munajat malam ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Hari ini, genaplah setahun ‘Peristiwa Taufan Al-Aqsa’ iaitu serangan Rejim Israel ke atas Gaza Palestin berlaku. Perkembangan yang berlaku sehari dua ini pula menggambarkan situasi yang semakin meruncing di sana.”

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata demikian ketika mengulas mengenai peranga Israel-Palestin yang masih belum menunjukkan titik noktah untuk menuju perdamaian. 

- Advertisement -

Katanya, kezaliman, kekejaman serta keganasan negara haram Israel yang tercetus sejak tujuh dekad lalu masih gagal dibendung, bahkan mereka semakin tegar menebas belukar laluan ke arah merealisasi cita-cita penubuhan Israel Raya. 

“Lebih malang lagi apabila situasi ini berlaku kerana Zionis Israel masih mendapat dukungan penuh sekutunya, walaupun masyarakat dunia sudah mula membuka mata terhadap realiti yang berlaku,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial Facebook. 

Justeru, Nushi berkata PAS Kawasan Hulu Langat, melalui Dewan Ulamak PAS Kawasan Hulu Langat menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PAS Kawasan Hulu Langat agar dapat bersama-sama di dalam solat hajat berserta munajat dan kuliah khas yang dianjurkan ini. 

“Solat hajat akan diadakan pada 7 Oktober (hari ini) bersamaan 4 Rabiulakhir 1446H,  bertempat di Kompleks Tarbiyah Darul Hidayah (KOMTA DH). 

“Kehadiran tetamu jemputan khas iaitu Ketua Dewan Ulama PAS, Ustaz Dr Mohd Zamri Zaiduldin akan menyampaikan kuliah khas. 

“Program akan bermula pada 7.30 malam hingga 9 malam,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berdoa semoga umat Islam di seluruh belahan dunia Islam khususnya di Gaza dan Timur Tengah dikurniakan kekuatan untuk terus memegang panji Islam sehingga diberikan kemenangan oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -