Nik Amar terima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan KIAS

Nik Mohd Amar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Islam Petra (KIAS) sempena konvokesyen ke-24 pada hari ini, 7 Oktober 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Islam Petra (KIAS) sempena konvokesyen ke-24 hari ini.

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud bertempat di Dewan Johor KIAS di Kampus Nilam Puri. 

- Advertisement -

Beliau berkata, pada awalnya agak berat untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan memandangkan sumbangannya tidak seberapa.

Ini kerana menurut Nik Amar,  beliau menganggap tidak layak untuk menerima anugerah tersebut berdasar sumbangan yang dicurah sebelum ini.

“Bagaimanapun saya mengucap terima kasih kepada pengurusan KIAS kerana memberi anugerah yang amat bernilai pada hari ini.

“Saya juga berharap pelajar-pelajar yang menerima diploma pada konvokesyen ini menjadi pemuda yang mempertahankan Islam,” katanya dalam ucapan ringkas pada Istiadat Konvensyen tersebut.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah KIAS, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat; Pengerusi Lembaga Pengelola KIAS, Kamaruzaman Mohamad; Rektor KIAS, Prof Dr Mazlan Ibrahim; serta anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri. 

Seramai 245 pelajar KIAS bakal menerima diploma pada konvokesyen tersebut, dan akan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di KIAS dan universiti tempatan serta luar negara. – HARAKAHDAILY 7/10/2024