Kelantan sumbang RM100,000 bantuan banjir Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak RM100,000 disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk bantuan mangsa banjir di Kedah dalam serahan diadakan di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

- Advertisement -

Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Sementara itu, Ashah mengalu-alukan kehadiran delegasi berkenaan dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih mewakili Kerajaan Negeri Kedah atas keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan membantu musibah yang berlaku di Kedah.

“Setakat ini Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk sumbangan kepada mangsa banjir. Sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan ini secara tidak langsung dapat meringankan beban Kedah,” kata beliau.

Dalam pada itu kata ADUN Merbau Pulas itu lagi, Khidmat Malaysia juga dilihat memainkan peranan yang sangat baik dan sehingga ini hampir 800 rumah telah dibersihkan.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim dalam ucapannya berkata, sumbangan itu atas dasar ukhuwah Islamiyyah dan rakan Empat Kerajaan Negeri (SG4).

“Kami turut terasa kerana Kelantan juga pernah mengalami banjir yang teruk dan semoga ujian ini membawa rahmat buat kita,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari serta ADUN Pedu, Mohd Radzi Md Amin.

Termasuk hadir Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!