KUALA LUMPUR: Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad, mulai 1 Januari tahun depan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.
“Selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
“Saya juga menitahkan agar Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.
“Saya berharap agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” titah baginda dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor pada 1 Januari 2014.
Oleh demikian, perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat dan Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 7/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!