KANGAR: Alternative Riding Club (ARC) Perlis mencatat kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan dalam Himpunan ARC Malaysia Kali Ke-10 di White Resort Camp, Balik Pulau, Pulau Pinang, pada 5 dan 6 Oktober semalam.
Seramai 27 ahli ARC Perlis menyertai himpunan tersebut yang dimulakan dengan konvoi dari sempadan Perlis-Kedah pada 4 Oktober, jam 3 petang.
Sepanjang dua hari himpunan, pelbagai aktiviti menarik dijalankan, termasuk solat berjemaah, sukaneka, sesi sembang santai bersama kelab motor luar, qiamullail, tazkirah, cabutan bertuah, serta aktiviti gotong-royong di masjid dan maahad tahfiz sekitar Balik Pulau.
ARC Perlis mencatat kejayaan cemerlang dalam acara sukaneka apabila berjaya mengungguli kesemua kategori pertandingan, seterusnya membawa pulang gelaran johan keseluruhan bagi himpunan kali ini.
Majlis penutup disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Ustaz Idris Ahmad, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua peserta dan pihak terlibat dalam menjayakan program ini.
ARC ditubuhkan di bawah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan silaturrahim antara ahli kelab motor dari seluruh negara.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Haziq Asyraf Dun, himpunan itu bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan sesama ahli, tetapi juga memupuk nilai kerjasama dan tanggungjawab sosial melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan. – HARAKAHDAILY 7/10/2024