Ambil tindakan tegas penganjuran Pan Asia Hash

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganjuran Pan Asia Hash 2024 yang mengandungi unsur Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT).

- Advertisement -

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz berkata, penganjur dan peserta acara itu menunjukkan ketidakpekaan terhadap nilai budaya dan moral masyarakat tempatan.

Menurut beliau, ia berpotensi mempromosikan agenda LGBT yang bertentangan dengan ajaran agama Islam dan norma rakyat Malaysia.

“Penganjuran acara sebegini boleh merosakkan struktur sosial dan moral masyarakat, memecahbelahkan perpaduan serta mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat yang menghormati nilai agama dan budaya,” katanya.

Beliau menyatakan perkara ini dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau pada malam tadi.

“Kami mendesak Exco Agama Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared Haji Mohd Khalid dan Majlis Perbandaran Pengerang untuk bertindak tegas menyambut kenyataan YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

“Tindakan segera dan tegas perlu diambil bagi memperlihatkan Kerajaan Negeri terutamanya serius dalam melindungi kesejahteraan masyarakat dan memastikan Johor kekal sebagai negeri yang memelihara nilai moral dan agama,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya bahawa Exco Agama dan Majlis Perbandaran Pengerang mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan tindakan tegas dilaksanakan sejajar dengan kenyataan Menteri Besar.

“Kami menyambut baik dan mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pendirian tegas beliau dalam mempertahankan nilai moral dan sosial negeri Johor.

“Sokongan padu ini diperlukan untuk memastikan mesej yang kuat disampaikan kepada semua pihak yang terlibat dalam acara tersebut,” katanya.

Beliau dalam kenyataannya turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor untuk bersatu mempertahankan nilai agama, moral dan budaya yang menjadi asas keharmonian negara, serta menolak sebarang penganjuran mengancam kesejahteraan masyarakat.

Tinjauan Harakahdaily ke laman sesawang berkaitan program tersebut mendapati ia dihoskan oleh Johor Bahru Hash House Harriers dan berlangsung di sebuah pusat peranginan di Pantai Desaru dari 4 hingga 6 Oktober. – HARAKAHDAILY 7/10/2024