SUNGAI BULOH: Semua pihak berkemampuan diseru untuk sama-sama menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk material atau tenaga bagi membantu mangsa banjir yang berlaku di beberapa kawasan dalam Negeri Selangor.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya telahpun memulakan usaha memberi bantuan sejak malam tadi bersama-sama Jabatan Amal Malaysia (JAM) Selangor dan beberapa NGO lain.
“Hati terasa hiba melihat keadaan mereka yang terjejas. Banyak rumah yang rosak teruk dan barangan yang hanyut, namun apa yang paling menyentuh hati adalah kecekalan mereka dalam menghadapi ujian ini.
“Saya menyeru rakan-rakan yang berkemampuan untuk turut serta meringankan beban saudara-saudara kita yang memerlukan. Bersama-sama, kita dapat membantu mereka bangkit semula daripada musibah ini,” katanya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor menyatakan perkara itu dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya malam tadi sewaktu menjalankan operasi bantuan di sekitar Merbau Sempak, di sini
Beliau bersama pasukannya turut meninjau di beberapa kawasan antaranya satu kejadian ban pecah berdekatan kawasan Lot 4, Jalan Rahidin 1, Kampung Paya Jaras Dalam dan Jalan Haji Karim, Kampung Paya Jaras Hulu yang terkesan banjir kilat.
“Terdapat juga ban di kawasan lain yang berhampiran semakin terhakis kerana arus deras dan boleh menyebabkan ban tersebut pecah.
“Perkara ini amat serius kerana boleh mengakibatkan bencana banjir berlaku lebih teruk dan saya akan membawa segera perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya dalam hantaran itu. – HARAKAHDAILY 4/10/2024



Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!