Kerajaan negeri hargai keringat petani

- Advertisement -

TUMPAT: Sebagai menghargai keringat dan jasa petani, kerajaan negeri melalui portfolio Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi menyumbang peralatan untuk membantu golongan terbabit.

- Advertisement -

Sumbangan tersebut termasuk baja, peralatan pertanian, mesin memotong rumput, racun dan sebagainya diberi kepada petani tanpa mengira warna kulit.

Adun Pengkalan Kubor Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata seramai 30 petani di DUN berkenaan menerima bantuan tersebut yang bernilai RM27,000 bagi tahun ini.

“Kita bagi kepada petani bukan orang Melayu sahaja, kaum Cina atau Siam juga mendapat bantuan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian input pertanian di Pejabat Khidmat DUN Pengkalan Kubor, Wisma Imtiyaz, dekat sini semalam.

Katanya, sumbangan berkenaan diberikan bukan hanya untuk meringankan beban petani sebaliknya sebagai penghargaan terhadap pengorbanan kepada mereka.

Kata beliau tanpa keringat dan usaha petani rakyat di negara ini tidak dapat menikmati buah-buahan, sayur, atau nasi yang dimakan setiap hari.

Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri berkata, Tumpat terkenal sebagai tempat pengeluaran sayur yang diusahakan petani kaum Siam, Melayu dan Cina. – HARAKAHDAILY 4/10/2024