Ulamak Selangor seru solat hajat untuk Palestin, Lubnan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyahut seruan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) agar mengajak umat Islam menunaikan solat hajat serta munajat.

- Advertisement -

Ketua DUPNS, Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, ia bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan umat Islam khususnya di Palestin dan Lubnan yang sedang diuji dengan peperangan.

“Ini berikutan serangan udara yang dilancarkan regim Zionis terhadap Beirut, di Lubnan setelah Gaza dan Tebing Barat di Palestin dizalimi dengan tindakan genosid untuk menghapuskan populasi penduduk Arab Palestin dan mengusir mereka dari tanah air mereka sendiri.

“Kini, regim Zionis mengalihkan api perang yang hampir satu tahun dinyalakan di Gaza untuk membakar Beirut serta wilayah selatan Lubnan atas alasan yang sama iaitu memerangi pengganas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan DUPNS malam tadi.

“DUPNS ingin menyeru kepimpinan Dewan Ulamak di peringkat kawasan di negeri Selangor agar dapat menganjurkan solat hajat berserta munajat di kawasan masing-masing bagi melaksanakan kewajipan kita terhadap saudara-saudara kita di Palestin dan Lubnan,” katanya.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT memelihara umat Islam di seluruh dunia Islam khususnya di Gaza, Tebing Barat dan Beirut agar terus diberikan kesabaran dan kekuatan bagi menghadapi kejahatan musuh-musuh yang mahu menghancurkan mereka.

“Ya Allah, bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan Lubnan!” katanya dalam kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -