Sedikit mengalahkan yang ramai

- Advertisement -

SELEPAS Talut memimpin tenteranya keluar untuk menghadapi musuh, mereka diuji dengan satu ujian yang tidak mudah. Talut berkata kepada tenteranya, “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai.

Siapa yang meminum airnya, maka dia bukanlah dari kalangan pengikutku. Tetapi, sesiapa yang tidak meminumnya, dia adalah dari pengikutku, kecuali yang hanya menceduk seteguk dengan tangannya.” (Surah Al-Baqarah, 249)

Tenteranya yang ramai, berjumlah puluhan ribu orang, berjalan jauh dan akhirnya tiba di sebuah sungai. Dalam keadaan keletihan dan dahaga, sebahagian besar mereka tidak mampu menahan diri daripada meminum air sungai itu sepuas-puasnya, walaupun telah diberi amaran.

- Advertisement -

Hanya sebilangan kecil yang mematuhi arahan Talut dan mengambil seteguk sahaja. Ini adalah ujian Allah untuk menguji tahap kesabaran dan kepatuhan mereka. Akibatnya, mereka yang melanggar arahan Talut menjadi lemah dan tidak layak berperang. Jumlah yang tinggal untuk melawan musuh dikatakan hanya sekitar 313 orang-angka yang kecil jika dibandingkan dengan tentera musuh yang diketuai oleh Jalut, seorang gergasi yang kuat dan menakutkan.

Tentera yang melanggar arahan mula berasa gentar apabila melihat musuh yang begitu besar dan kuat. Mereka berkata, “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya.” Tetapi, orang-orang yang benar-benar beriman, yang yakin dengan pertolongan Allah, berkata, “Berapa banyak golongan kecil yang berjaya menewaskan golongan besar dengan izin Allah?” (Surah Al-Baqarah, 249)

Semangat mereka yang beriman dan yakin dengan pertolongan Allah ini sama seperti kisah pendekar Hang Tuah. Hang Tuah pernah berhadapan dengan 70 orang musuh sekaligus, tetapi dengan kecerdikannya, dia mencari ruang yang sempit supaya musuh hanya boleh datang seorang demi seorang, dan akhirnya dia berjaya menumpaskan mereka satu per satu. Inilah bukti bahawa dengan kebijaksanaan dan keyakinan kepada Allah, yang sedikit boleh mengalahkan yang ramai.

Kisah ini juga membawa kita kepada peristiwa tahun 1990, apabila PAS berjaya menang besar di Kelantan dengan 39 kerusi, dan di Terengganu pula hampir keseluruhan negeri dikuasai. Siapa yang sangka, kemenangan sebesar itu boleh berlaku? Inilah yang dikatakan sebagai pertolongan Allah, sesuatu yang mungkin tidak dapat dijangka oleh manusia.

Seperti kata Almarhum Tok Guru Nik Aziz, “Kesepakatan malaikat di langit dan manusia di bumi.” Maksudnya, pertolongan Allah datang dengan cara yang tidak kita sangka-sangka, melalui hati manusia yang berada dalam genggaman Allah.
Hati manusia, seperti yang disebut dalam hadis, berada di antara jari-jemari Allah.

Inilah sebabnya hati dipanggil sebagai ‘Qalbu’, kerana ia mudah berubah-ubah, seperti bola yang bergolek ke sana ke mari. Oleh itu, Nabi mengajar kita satu doa yang penting untuk dibaca: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati aku di atas agama-Mu.” (Rujuk Riwayat Imam Muslim, 2654)

Ketika tentera Talut sampai ke medan perang dan bersiap sedia untuk menentang Jalut, mereka berdoa dengan penuh tawakal kepada Allah: “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, teguhkanlah tapak pendirian kami, dan menangkanlah kami atas kaum yang kafir.” (Surah Al-Baqarah, 250)

Doa ini melambangkan betapa pentingnya kesabaran yang penuh ketika berhadapan dengan kesulitan yang besar. Mereka tidak meminta untuk dipermudahkan, tetapi meminta untuk diberikan ketabahan hati, tidak lari walaupun berada dalam kesusahan.

Dalam kehidupan kita sendiri, cabaran-cabaran yang dihadapi memerlukan kesabaran yang tinggi. Sama ada dalam urusan dunia atau agama, cabaran yang datang sering kali membuatkan kita hampir menyerah. Imam Ghazali menyebut dalam hadis Nabi, bahawa pada akhir zaman, berpegang kepada agama itu seperti menggenggam bara api-sesuatu yang amat sukar dan menyakitkan. (Rujuk Riwayat Imam Tirmizi, 2260)

Kita melihat banyak contoh dalam kehidupan harian di mana cabaran agama itu berat. Contohnya, bagi wanita, melihat orang lain berhias dengan pakaian yang tidak menutup aurat, pasti ada godaan untuk turut serta.

Bagi lelaki, menjaga solat pada awal waktu mungkin mencabar, terutama apabila terikat dengan pekerjaan atau urusan harian. Ada juga yang terpaksa berhenti kerja kerana tidak tahan dengan tekanan untuk terlibat dalam rasuah.

Cabaran harta dan pangkat juga tidak kurang hebatnya. Ramai yang meninggalkan perjuangan kerana terpesona dengan pangkat dan harta.

Semua ini mengingatkan kita bahawa setiap kemenangan atau kekalahan datang dengan izin Allah. Kita boleh berusaha, tetapi hasil akhirnya adalah dengan kehendak-Nya.

Seperti kisah Nabi Isa yang mampu menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit, semuanya berlaku dengan izin Allah. Sama juga dengan Nabi Sulaiman yang memiliki kekuasaan hebat, tetapi baginda sentiasa mengakui bahawa semua itu adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah, bukan kerana kehebatan dirinya sendiri.

Allah mengajar kita agar sentiasa merendah diri, dan ingat bahawa apa yang kita miliki bukan semata-mata hasil usaha kita, tetapi kerana Allah mengizinkannya. Kalau Allah tidak izinkan, tidak kira seberapa keras usaha kita, kita tidak akan mendapat apa-apa.

Maka, dengan keyakinan yang kukuh kepada Allah, kita mesti teruskan usaha, sama seperti tentera Talut yang sedikit, tetapi berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar, dengan izin dan pertolongan Allah. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -