PBAPP perlu tampil bertemu penduduk rungkai isu

Ekoran masalah bekalan air tidak berkesudahan di Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) digesa agar memberi penjelasan berkaitan masalah bekalan air bersih yang membelenggu penduduk sejak enam tahun lalu di Mukim 5, di sini.

- Advertisement -

ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail berkata terkini penduduk berkenaan telah putus bekalan air bersih hampir dua minggu tanpa ada penjelasan dan tindakan dari PBAPP serta kerajaan negeri berkenaan isu ini.

“Namun realitinya walaupun sudah berlarutan sejak enam tahun lalu, tiada tindakan diambil dan penduduk terpaksa menanggung risiko,” tegasnya ketika ditemui media, hari ini.

Abidin atau mesra dengan panggilan Abang Abidin hadir bersama pada sidang media Jawtankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 yang dipengerusikan oleh Khairul Ahmad Fitri Suhaimi.

Tegas beliau, pihak PBAPP perlu tampil bertemu penduduk menjelaskan pelan kontigensi yang dikatakan akan dilaksanakan untuk merungkai dan menyelesaikan krisis ini termasuk berkenaan kebocoran paip.

“Berjumpa rakyat, beri penjelasan, masalah ini bukan sahaja mengundang keresahan mereka yang terlibat, malah rutin seharian juga terganggu,” tambah beliau.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (LEKAS) Zikrullah Ismail.

Abang Abidin sebelum ini telah menyuarakan desakan agar PBAPP lebih proaktif menangani masalah kebocoran paip yang didakwa berlaku di kawasan Politeknik Permatang Pauh.

Ini berikutan masalah tersebut dikatakan menjadi punca yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada beberapa kampung Mukim 5, Taman Widuri dan Taman Seruling Emas, Sungai Bakap, di sini.

Sungguhpun katanya pihak berkuasa telah mengeluarkan notis mengenai kebocoran tersebut lebih awal, tetapi pihaknya belum melihat tindakan susulan yang diambil.

“Situasi ini menambah beban kepada penduduk yang sudah sedia berhadapan dengan kekurangan air. Bekalan air yang dihantar menggunakan tanker juga tidak mencukupi, terutama di kawasan yang lebih tinggi.

“PBAPP perlu lebih proaktif dalam menangani situasi ini, dengan menambah baik sistem dan menyediakan maklumat yang lebih jelas mengenai status pembaikan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!