Khidmat terbaik kepada rakyat walau tanpa peruntukan

Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin, baru-baru ini telah menyalurkan sumbangan kepada wakil-wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terlibat dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang telah diadakan pada pertengahan September lalu.

- Advertisement -

Menurutnya, meskipun tiada peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Campuran PH-BN kepada Ahli Parlimen pembangkang, usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tetap diteruskan melalui inisiatif Putrajaya Care di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya.

“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat. Pelbagai alasan diberikan bagi menyokong tindakan kerajaan PH-BN tidak menyediakan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

“Antaranya, bantuan kepada rakyat telahpun disalurkan melalui agensi-agensi Kerajaan tetapi hakikat yang boleh kita lihat adalah tidak semudah apa yang sering dilaung-laungkan untuk rakyat dapatkan bantuan daripada agensi kerajaan,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah memberikan sokongan penuh kepada anak-anak mereka.

“Sokongan anda semua adalah pendorong utama kejayaan anak-anak kita,” tambahnya.

Datuk Dr. Radzi turut memuji usaha pelajar-pelajar yang telah mengharumkan nama Putrajaya di pentas Kejohanan MSSM.

“Menang atau kalah, pak cik akan sentiasa menyokong anda semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2024