Israel tertekan, Iran terdesak, AS terpaksa

- Advertisement -

SEJAK Taufan Aqsa bertiup 7 Oktober lepas, nampak bacaan-bacaan politik di rantau itu mengalami perubahan ketara. Pertembungan Islam-Zionis dah masuk fasa baharu secara terburu-buru.

Kita boleh kelaskan agenda Zionis kepada lima fasa:

Pertama, Zionis adalah memiliki kuasa politik. Matlamat fasa pertama mereka dah berjaya setelah 50 tahun iaitu penubuhan negara Israel tahun 1948. Modus operandi fasa itu adalah jatuhkan khilafah, jajah Palestin melalui British dan dapat pengiktirafan dari negara Teluk dan Turki.

Kedua, bermula dengan menstabilkan ancaman daripada negara jiran. Sebaik Israel diisytiharkan, berlaku siri-siri penentangan dari aktor negara Islam seperti Syria, Jordan, Lubnan dan Mesir. Maka matlamat fasa kedua adalah mematikan peranan aktor negara-negara ini. Modus operandi adalah perjanjian damai seperti Oslo, Madrid, Camp David dan sebagainya dalam dekad 80-90an. Fasa ini juga berjaya dalam tempoh 50 tahun.

Ketiga memunculkan aktor bukan negara seperti Hizbullah dan HAMAS. Maka matlamat fasa ini adalah neutralisasi ancaman daripada keduanya. Modus operandinya termasuklah menyahstabilkan Syria yang menjadi pengkalan HAMAS dan Hizbullah di Lubnan.

- Advertisement -

Sepanjang fasa ini, Israel bergelut dengan masalah politik dalaman, kebangkitan pesaing Amerika Syarikat (Rusia-China) dan perluasan pengaruh Iran.

Dengan ketidakstabilan politik di Israel, HAMAS ambil peluang melancarkan Taufan Aqsa 7 Oktober dari selatan. Pada 8 Oktober, Hizbullah turut ambil bahagian sebagai medan tempur sokongan di utara Israel.

Pada 7 Oktober bukan masa sesuai untuk Israel hadapi peperangan panjang atas faktor politik dalaman. Tapi bila dah dicabar, mereka tiada pilihan selain membalas dan memastikan mereka tidak dianggap kalah. Kerana itu perang terheret hampir setahun.

Sepanjang Taufan, Populariti Setanyahoo menjunam teruk baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Domestik kerana tak berjaya capai objektif perang, antarabangsa kerana jenayah kemanusiaan. Kalau tak buat apa-apa, kariernya bakal tamat.

Netanyahu terdesak untuk dapatkan balik sokongan. Serang Gaza dah tak membantu. Jadi perlu heret ‘penjahat’ No.1 dunia ke kancah perang; Iran.

Serang pengkalan di Syria, kematian Presiden, pembunuhan Ismael Haniyeh dan Foad Shuk. Tapi Iran dah boleh hidu. Lalu mereka tak balas dengan skala besar untuk menghalang masyarakat antarabangsa berdiri belakang Zionis.

Netanyahu makin terdesak. Provokasi terhadap Iran diperhebat. Bermula kes pager dan walkie talkie, serangan ke Beirut hinggalah bunuh Nasrallah. Kalau ikutkan Netanyahu mengelak dari ranapkan Lubnan seperti Gaza kerana itu lagi menyebabkan masyarakat antarabangsa marah, tapi Netanyahu dah tiada pilihan. Orang awam jadi mangsa terbesar.

Akhirnya mereka berjaya desak Iran untuk terlibat. Serangan semalam menjadi sejarah baru yang sudah lama dinanti. Pertembungan langsung Iran-Israel.

Empat, serangan kelmarin menandai permulaan fasa lima agenda Zionis. Matlamatnya adalah melenyapkan terus akar atau paksi ancaman dari mana-mana negara Islam yang berbaki. Negara lain dah berjaya dimandulkan sama ada melalui perjanjian, kerjasama ekonomi atau perang saudara. Bakinya hanya tinggal Iran.

Hapuskan Iran, automatik HAMAS dan Hizbullah hilang sumber. Maka matlamat fasa tiga dan empat tercapai sekaligus. Mungkin itulah strategi Netanyahu

Tapi nak hapuskan Iran perlu bantuan AS. Nampak dah bibit-bibit tu. Tapi untuk jangka masa panjang, agak sukar nak dapatkan bantuan berskala besar. Kekangan birokrasi dalam sistem demokrasi negara tu.

Nak dapat bantuan besar dari AS, kena heret Rusia sekali back-up Iran. Tapi Rusia perlu capai misi mereka dulu di Ukraine.

Iran pula tak mahu bertembung langsung dengan Israel lagi selagi tidak mendapat jaminan bantuan dari Rusia seperti jaminan AS kepada Israel. Tapi bila dah Israel main kasar di Lubnan, Iran tiada pilihan.

Kelima, bila Iran dah berjaya dilumpuhkan, maka masuklah fasa lima agenda Zionis; penguasaan rantau Asia Barat. Matlamatnya adalah menjadikan Baitulmaqdis pusat pemerintahan. Modus operandinya lenyapkan hak umat Islam dari negara itu. Misi paling besar adalah runtuhkan Masjidil Aqsa.

Waktu itu negara Islam di rantau Asia Barat tak mampu lagi bangkit. Kalau adapun hanyalah serangan skala kecil dan gerila yang mudah ditangani. Aktor negara dah lenyap, aktor bukan negara pun dah lumpuh.

Tapi bermula hujung fasa ketiga, agenda-agenda berjalan penuh cacat cela. Mereka boleh capai fasa seterusnya, tapi dalam keadaan tak bersih sepenuhnya. Ancaman dari fasa tiga dan empat boleh timbul kembali. Blok Barat juga semakin melemah. Namun tampak mereka dah tak peduli semua itu.

Harapan terakhir adalah melihat kebenaran sabdaan Rasulullah; panji hitam dari Timur. Watak hero yang bakal menyelamatkan saudara kita di Asia Barat. Timur yang masih berpotensi setakat ini adalah umat Islam sama ada di Subcontinent, Caucasus ataupun Nusantara.

Allahu mustaan..

ALANG IBN SHUKRIMUN
Kuala Nerus, Terengganu – HARAKAHDAILY 3/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -