KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, menekankan bahawa Islam akan kembali menjadi asing, sebagaimana ia hadir pada awalnya.
Menurut beliau, Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah ajaran yang sempurna dan merangkumi setiap aspek kehidupan kerana Islam merupakan cara hidup yang syumul.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan pemikiran yang sedang melanda umat Islam pada masa ini, terutamanya usaha untuk menormalisasi perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Serangan itu kata Ahli Parlimen Bagan Serai itu, termasuklah ideologi liberalisme, sekularisme, hedonisme, dan pluralisme, yang dilihat menyimpang daripada landasan Islam yang sebenar.
“Maka, setiap umat Islam mesti menyedari peri pentingnya untuk membenteng diri daripada terjerumus dengan ideologi yang menyimpang dari landasan Islam yang sebenar agar kita menjadi umat Islam yang bersama-sama dengan dagang walaupun sedikit,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.
Ustaz Idris turut berkongsi kisah Saidina Umar ibni al-Khattab yang mendengar doa seorang Arab Badwi yang memohon kepada Allah agar dijadikan dalam kalangan ‘orang yang sedikit’.
Cerita beliau lagi, apabila ditanya Saidina Umar mengapa Arab Badwi itu berdoa demikian, Arab Badwi itu menjawab bahawa Allah SWT menyebut dalam al-Quran, ‘sedikit sahaja dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur’. – HARAKAHDAILY 3/10/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!