Banci pertanian tanda aras penyediaan indikator pertanian

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Sehingga kini sebanyak 82,867 tempat kediaman dan pertubuhan perniagaan dibanci di Kelantan dalam Bancian Pertanian 2024.

Jumlah tersebut kira-kira 94.6 peratus tempat kediaman selesai dilawati pembaci.

Pengerusi Jawatankuasan Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, Banci Pertanian 2024 dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bermula 7 Julai lepas.

- Advertisement -

Katanya banci itu diadakan bertujuan untuk mengumpul stok dan profail penduduk yang melakukan aktiviti pertanian yang meliputi ciri-ciri demografi dan sosioekonomi.

“Maklumat bancian termasuk berkaitan aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur dan perhutanan dan pembalakan.

“Maklumat bancian itu penting bagi tujuan perancangan dan pembangunan negara yang akan menjadi asas kepada unjuran dan anggaran sektor pertanian negara,” katanya di sini.

Sebelum itu beliau melawat perusahaan betik callina di Selising dan kerapu hybrid di Cherang Ruku dekat sini. (Foto atas)

Penanaman betik callina dan penternakan ikan kerapu hibrid merupakan keunikan yang hanya terdapat di Pasir Puteh dan tidak terdapat di jajahan lain di Kelantan.

Turut hadir ADUN Semerak Norsham Sulaiman dan Timbalan Pesuruhjaya Banci Pertanian Kelantan Abang Saifulhadi Abang Ibrahim.

Tuan Saripudin juga berkata, bancian turut menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan indikator sektor pertanian dalam menjamin bekalan makanan serta sosioekonomi.

Katanya juga banci pertanian turut dilakukan negara lain termasuk Thailand dan Indonesia melaksanakan bancian pada tahun 2023.

Manakala Korea Selatan, China dan Australia pula pada tahun 2021.

Menurutnya bagi jajahan Pasir Puteh sejumlah 5,630 (97.5 peratus) daripada 5,775 tempat kediaman dan 15 pertubuhan (60.0 peratus) daripada 25 pertubuhan selesai dilawati. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!