Ziarah kasih ADUN Bemban di Kesang Jaya

Mohd Yadzil ketika sesi ziarah kasih dengan mengadakan kunjungan ke rumah seorang penduduk di Kesang Jaya, Jasin, Melaka.
- Advertisement -

JASIN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub meneruskan sesi ziarah kasih dengan mengadakan kunjungan ke rumah seorang penduduk di Kesang Jaya, di sini yang sudah hampir tiga bulan terlantar sakit.

Menurut beliau, Mohammad Nor pada awalnya dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru, namun, selepas sekian lama dirawat di hospital, timbul pula komplikasi lain sehingga pernah terhenti jantungnya ketika dirawat di hospital.

- Advertisement -

“Sakit itu sebahagian dari ujian Allah. Sehingga kini, Mohammad Nor masih belum sedarkan diri.

“Segalanya masih bergantung kepada keluarga. Isterinya, Puan Zamilah yang menguruskan beliau di rumah.

“Perbelanjaan untuk mengurus cukup besar. Kos membeli susu yang disyorkan doktor cecah ribuan ringgit sebulan.

“Sukar untuk keluarga ini menanggung semuanya tanpa pencen dan isteri tidak bekerja,” katanya melalui perkongsian di laman Facebook beliau.

Tambah Mohd Yadzil, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dengan keadaan yang tidak sempurna sejak lahir, Zamilah kekal tabah menjaga suaminya yang terlantar sakit itu. 

“Tanda rasa sayang dan cintakan suaminya. Itulah lubuk pahala Puan Zamilah sebagai isteri.

“Cuba membantu mana yang termampu. Insya-Allah akan diusahakan untuk meringankan beban keluarga ini. Semoga bermanfaat untuk keluarga ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2024

- Advertisement -